FAKRI (dua dari kiri) sedia pamer taring dalam kesebelasan MU.
FAKRI (dua dari kiri) sedia pamer taring dalam kesebelasan MU.
Nazri Abu Bakar


SELEPAS kempunan mendapatkan khidmat Mohammed Ghaddar, kekecewaan Melaka United (MU) terubat apabila bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bersetuju memperkuatkan skuad Hang Tuah musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Noor Azman Rahman berkata, pemain kelahiran Kelantan yang pernah beraksi bersama Perak, Perlis, Kelantan, Kedah dan FELDA United itu bersetuju menandatangani kontrak setahun.

“Saya yakin pengalaman luasnya mampu mempertajamkan jentera serangan skuad kendalian Eduardo Almeida.

“Malah, rekod cemerlang dan corak permainannya yang efektif serta bijak memburu jaringan mendorong pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi merestui pemilihannya,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak di Bilik Media MUSA, petang ini yang turut disaksikan Yusoff dan Almeida.

Noor Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menawarkan kontrak lanjutan sekiranya Ahmad Fakri memperagakan prestasi cemerlang.

Sebelum ini, MU turut menarik semula penyerang yang dipinjamkan ke Selangor musim ini, Nurshamil Abd Ghani kembali ke pangkuan pasukan selain kehadiran R Gopinathan bagi memperkasakan jentera serangan skuad Hang Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 6:09 PM