HM Digital

Kuala Lumpur: Perwatakan dan percakapannya sangat bersahaja, seperti ‘Otai Rock’ zaman awal 90-an, namun aksinya di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam sangat luar biasa sehingga berjaya mempertahankan emas merejam lembing lelaki F12/13 (masalah penglihatan).

Individu yang dimaksudkan ialah ‘orang lama’ dalam sukan Para, Hisham Khaironi (gambar) yang bukan saja mengulangi pencapaian cemerlang di Singapura dua tahun lalu tetapi melakar catatan peribadi terbaik dengan rejaman sejauh 49.98 meter.

Dia yang mewakili negara sejak berusia 15 tahun pada 1994, hanya mengambil masa dua bulan untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) dan semalam catatan peribadi terbaik ketika dicatatkan di Myanmar 2014, 49.76m lebur.

“Ini penampilan ketiga saya untuk acara merejam lembing, tapi penampilan sulung saya sejak 2005 di Manila namun ketika itu saya mengambil bahagian dalam acara 100 dan 200m. Sekarang saya sudah berusia 38 tahun, jadi acara paling sesuai ialah merejam lembing,” katanya sambil berseloroh.

Atlet kelahiran Jitra, Kedah yang memiliki lima cahaya mata itu juga mengintai peluang untuk beraksi di Para Asia Jakarta-Palembang tahun depan.

“Saya pernah menyertai Para Asia di Guangzhou (2010) dan Incheon (2014). Di Guangzhou saya berjaya meraih emas 200m dan perak 100m, namun di Incheon saya menyertai acara merejam lembing tanpa memenangi sebarang pingat,” katanya yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia 10 tahun kerana demam panas.

Anak kedua daripada 13 beradik itu juga mengakui usia bukan penghalang buatnya dan yakin masih mempunyai kudrat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk berbakti kepada negara.

Perak acara berkenaan diraih Juntinmatorn Wasuntha dari Thailand (46.39m) dan pingat gangsa tidak dipertandingkan kerana hanya membabitkan tiga atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 3:16 AM