MOHAMMAD Zikri (kiri) dan Nur Jannaton bergambar bersama trofi yang dimenangi mereka ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Para Sukma XX MSN 2022 di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
MOHAMMAD Zikri (kiri) dan Nur Jannaton bergambar bersama trofi yang dimenangi mereka ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Para Sukma XX MSN 2022 di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehebatan yang dipamerkan atlet olahraga Melaka, Mohammad Zikri Zakaria dan pemanah Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil membolehkan mereka dinobatkan sebagai atlet lelaki dan wanita terbaik Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang melabuhkan tirainya, hari ini.

Zikri, 23, mencipta sensasi pada temasya kali ini apabila memenangi tiga pingat emas dalam tiga acara berbeza iaitu lempar cakera, merejam lembing dan lontar peluru bagi kategori F55.

Lebih membanggakan, dia juga berjaya memecahkan rekod temasya dalam ketiga-tiga acara berkenaan. Bagi acara lempar cakera, Zikri mencatat 22.75 meter, merejam lembing 20.97m manakala lontar peluru 9.61m.

Catatan yang direkodkan dalam acara lontar peluru meletakkan atlet berkenaan di kedudukan kedua Asia manakala bagi lempar cakera dan merejam lembing menyaksikan dia di tempat keempat Asia.

Kedudukan itu menyaksikan Zikri kini meletakkan dirinya sebagai atlet pilihan bagi memenangi emas di Sukan Para Asia 2023 di Kemboja dan antara pencabar utama bagi menaiki podium pada Sukan Para Asia Hangzhou, tahun depan.

Sementara itu, Nur Jannaton membuktikan betapa dia berhak dipilih selaku atlet wanita terbaik selepas berjaya membuktirkan tiga kilauan emas pada temasya kali ini dalam acara compound wanita terbuka individu, pusingan Olimpik individu dan berpasukan campuran bergandingan bersama Zafi Rahman Mat Saleh.

Panahan yang dicipta graduan jurusan Fizik Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) berusia 27 tahun itu berjaya meletakkan namanya dalam senarai 25 atlet terbaik dunia dan antara lima Terbaik Asia bagi acara compound wanita.

Sabah pula dinobatkan selaku kontinjen terbaik apabila muncul juara keseluruhan buat kali sejak Para Sukma diperkenalkan pada 1982 apabila meraih 54 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa sekali gus mengatasi juara 13 kali yang juga juara bertahan, Sarawak yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dengan 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa.

Johor mengakhiri temasya kali ini di kedudukan ketiga dengan 38 emas, 30 perak dan 25 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 11:53 PM