JULIUS JARANDING. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
JULIUS JARANDING. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jumiati Rosly


KEHADIRAN ramai perenang muda dari Indonesia merencatkan strategi perenang negara untuk menyinar dalam sukan renang pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Perenang senior negara, Julius Jaranding berkata, dia agak terkejut dengan dominasi perenang Indonesia pada temasya kali ini kerana negara jiran itu menampilkan ramai perenang muda.

“Bagi kelas saya dalam cacat penglihatan, saya satu-satunya perenang yang ada.

“Saya bimbang jika kita tidak mencari pelapis secepat mungkin, negara akan ketandusan perenang di masa hadapan,” katanya yang turut tersenarai dalam Program Podium.

Sebagai rekod, Indonesia merangkul 11 daripada 20 pingat emas yang ditawarkan pada hari pertama sukan renang di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Perenang berumur 31 tahun itu berkata, dia bagaimanapun masih ingin menyumbangkan khidmat bakti untuk negara dan menghasilkan pencapaian yang lebih baik selepas ini.

Dalam saingan acara kegemarannya hari ini, 100 meter gaya bebas S12 (masalah penglihatan) lelaki, Julius memenangi pingat perak keduanya dengan catatan 1 minit 07.68 saat di belakang perenang Indonesia, Menaser Meriba Numberi (1:05.98s). Gangsa diperoleh perenang Vietnam, Bui Van Tinh (1:11.10s).

“Bila turun bertanding saya sendiri tidak sangka ramai muka baru menyerlah. Memanglah agak kecewa sebab tak dapat menang emas kerana saya ada meletakkan sasaran untuk acara ini,” katanya.

Julius bagainamapun gembira apabila dia dapat membaiki catatan masa terbaiknya 1:08s yang dilakukan di Singapura dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:16 PM