HAIRUL raih emas acara perseorangan campuran TPB1 di Sunway Mega Lines, hari ini. - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
HAIRUL raih emas acara perseorangan campuran TPB1 di Sunway Mega Lines, hari ini. - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
BERNAMA

PENGORBANAN dan usaha gigih selama dua tahun membuahkan hasil apabila atlet bowling para Muhamad Hairul Miran dan Noor Lizah Salman menyumbang dua pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Menerusi aksi bertenaga di Sunway Mega Lanes, dua pingat emas negara diraih masing-masing melalui acara perseorangan campuran TPB1 (cacat penglihatan) dan perseorangan wanita TPB8 (berkerusi roda).

Hairul, 40, yang pada mulanya atlet merejam lembing berkata, dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan latihan sepenuh masa selama dua tahun kepadanya, dia mampu mempamer aksi lebih bagus berbanding sebelum ini.

“Dengan sokongan semua, saya dapat beraksi dengan bersungguh-sungguh. Apa yang diajar oleh jurulatih selama dua tahun membuahkan hasil. Saya berkorban masa dan tenaga untuk APG kali ini. Saya mahu menang di laman sendiri,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang meraih pingat gangsa pada APG 2015 di Singapura.

Dia yang mendapat suntikan semangat selepas menyertai Kejohanan Dunia bulan lalu menang dengan 919 jatuhan pin menewaskan pemain Thailand, V Tangpoolpun (717) dan K Kietkongtawee (686).

Hairul mengakui pemain Thailand memberikan saingan sengit kepadanya, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang sebaliknya terus berazam meninggalkan mereka dengan beza lebih 200 jatuhan pin.

“Tidak mudah sebenarnya nak lontar bola boling dalam keadaan tidak nampak, tapi dengan latihan setiap hari ia jadi lebih mudah. Ia memerlukan ketahanan mental tinggi untuk membuat lontaran tepat,” katanya.

Sementara itu, Noor Lizah mengakui dia sedikit gementar apabila kali pertama beraksi dalam kategori wanita selepas sebelum ini hanya bertanding dalam kategori campuran.

“Memang ada perasaan takut, tapi bila sudah mula bermain dan mendapat rentak, saya boleh kawal perasaan itu. Jika ditanya siapa pencabar terdekat, bagi saya semua atlet bagi saingan sengit kerana semua mahu menang,” katanya.

Noor Lizah meraih pingat emas selepas membuat 824 jatuhan pin diikuti seorang lagi atlet negara, Ruzila Mustafa (804) dan Rohayati dari Indonesia (679).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 6:24 PM