HEMALA rangkul emas kedua dalam acara lontar peluru F11/F12. -Foto Agensi
HEMALA rangkul emas kedua dalam acara lontar peluru F11/F12. -Foto Agensi
Haika KhaziAzlan Muhammad Zain dan Mohd Khairie Khalid dan Ferzalfie Fauzi


HEMALA Devi Enny Kutty kini berada di landasan tepat untuk mencipta kejayaan hatrik pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), selepas merangkul pingat emas kedua menerusi acara lontar peluru F11/F12, sebentar tadi.

Ketika ini, Hemala sudah meraih pingat emas dalam acara lempar cakera dan lontar peluru pada pertandingan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Atlet berusia 27 tahun itu berpeluang cerah untuk merangkul emas ketiga menerusi acara merejam lembing Khamis ini.

Dalam aksi lontar peluru sebentar tadi, Hemala melakukan lontaran sejauh 10.09m untuk mengetepikan cabaran atlet Filipina, Jeanette Aceveda yang sekadar meraih perak, manakala gangsa milik peserta Brunei, Dayang Nor Hensan Awang.

Ketika ditemui, Hemala cukup gembira kerana dapat menghadiahkan emas keduanya menerusi acara lontar peluru walaupun beraksi dalam keadaan demam.

“Saya tetap gembira dapat menang emas kedua hari ini, biarpun gagal memecahkan rekod peribadi (10.54m). Saya masih demam selepas terkena hujan ketika beraksi dalam acara lempar cakera wanita F12 (semalam).

“Kemenangan ini membakar semangat saya untuk melakukan yang terbaik dan menang emas ketiga peribadi menerusi acara merejam lembing Khamis ini,” katanya.

Hemala meluahkan keyakinan dia mampu merangkul emas ketiga, biarpun kali terakhir berlatih dan menyertai acara merejam lembing pada temasya 2012.

Sebelum ini, atlet kelahiran Segamat itu memecahkan rekod peribadinya dan meraih emas dalam acara lempar cakera wanita F12 dengan catatan 32.46m berbanding rekod lama 30m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 12:34 PM