PEMAIN Pulau Pinang, Brandon Mcdonald mengasak pemain T-Team Dilshod Sharofetdinov (baju putih) dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri  Batu Kawan. -Foto RAMDZAN MASIAM
PEMAIN Pulau Pinang, Brandon Mcdonald mengasak pemain T-Team Dilshod Sharofetdinov (baju putih) dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri Batu Kawan. -Foto RAMDZAN MASIAM
BERNAMA

PELUANG Pulau Pinang untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan dilihat tertutup apabila tewas 0-2 di laman sendiri kepada T-Team di Stadium Negeri Batu Kawan, malam tadi.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun perlawanan itu disifatkan sebagai ‘hidup dan mati’ pasukan itu, namun anak didiknya gagal menguasai perlawanan selain mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

“Ibarat pemain tidak membawa kasut untuk menjaringkan gol... amat mengecewakan sekali kerana perlawanan inilah yang paling banyak sekali kami cipta peluang hingga peluang terbuka pun mereka sia-siakannya.

“Kalau kualiti macam ini susah untuk bersaing di Liga Super,” katanya.

Pada perlawanan itu, Fauzi Abdul Kadar (m-28) dan Asrol Ibrahim (m-58) menyumbang gol buat T-Team.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, skuad Harimau Kumbang akan terus berusaha dan apa yang penting ketika ini adalah menjaga maruah pasukan itu.

“Kami akan terus berusaha dan juga inilah saat saya nak lihat pemain mana yang mempunyai mental kuat untuk bermain dalam pasukan Pulau Pinang,” katanya.

Ditanya jika pasukan itu tidak berjaya mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan, bekas pengendali Pahang itu berkata, pemain harus menerima apa juga keputusan dan tindakan yang akan diambil oleh pengurusan.

Pulau Pinang, yang menghuni tangga tercorot dalam liga dengan 12 mata, akan menentang Perak pada 30 September ini dan Selangor pada 21 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 12:54 PM