ZAINAL terkilan anak buah gagal kuasai aksi ‘hidup mati’ pasukan ketika tewas di tangan T-Team. - Foto fail
ZAINAL terkilan anak buah gagal kuasai aksi ‘hidup mati’ pasukan ketika tewas di tangan T-Team. - Foto fail
BERNAMA

PELUANG Pulau Pinang untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan dilihat tertutup apabila tewas 0-2 di laman sendiri ketika menentang T-Team di Stadium Negeri Batu Kawan, semalam.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun perlawanan itu disifatkan sebagai ‘hidup dan mati’, namun anak didiknya gagal menguasai aksi selain mempersiakan semua peluang menjaringkan gol.

“Ibarat pemain tidak membawa kasut untuk menjaringkan gol, amat mengecewakan sekali kerana perlawanan ini paling banyak sekali kita cipta peluang, tapi peluang terbuka pun kita sia-siakan.

“Kalau kualiti macam ini susah untuk bersaing dalam Liga Super,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, T-Team menjaringkan gol menerusi Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-28 dan Mohd Asrol Ibrahim (m-58).

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, skuad Harimau Kumbang akan terus berusaha dan apa yang penting ketika ini menjaga maruah pasukan itu.

“Kami akan terus berusaha dan ini saat saya nak lihat pemain mana yang mempunyai mental kuat untuk bermain dalam pasukan Pulau Pinang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:01 PM