PEMAIN Pulau Pinang Muhammad Rafiuddin Roddin (kanan) mengasak pemain PKNS, Pak Kwang-il.
PEMAIN Pulau Pinang Muhammad Rafiuddin Roddin (kanan) mengasak pemain PKNS, Pak Kwang-il.

Batu Kawan: Tiga mata dicari Pulau Pinang untuk terus kekal dalam saingan Liga Super, hilang dalam sekelip mata apabila tewas 0-2 di tangan PKNS FC di Stadium Negeri, malam kelmarin.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah semua pemain Harimau Kumbang bimbingan Zainal Abidin Hassan apabila gagal menebus kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) minggu lalu.

Zainal sendiri kecewa apabila gagal menang kerana ia adalah perlawanan yang cukup berharga buat anak buahnya.

Menurutnya, peluang untuk mereka kekal di Liga Super masih ada namun pemain perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan impian itu dapat direalisasikan.

“Kita benarkan pihak lawan pulang dengan dua gol dan tiga mata sedangkan kita bermain baik tetapi gagal menjaringkan gol.

“Pemain harus membaiki segala kesilapan yang dilakukan untuk perlawanan akan datang apabila bertemu Melaka United di tempat lawan, Sabtu ini.

“Semua pemain perlu ingat betapa pentingnya kemenangan apabila peluang terhidang luas di depan mata tidak diambil apatah lagi peluang yang ada di tempat lawan pula,” katanya.

Dalam perlawanan malam kelmarin, gol pertama PKNS FC dijaringkan Patrick Ronaldinho pada minit ke-53 manakala Abdou Jammeh menjaringkan gol kedua pada minit ke-80.

Pulau Pinang terus ditimpa malang apabila kekal menduduki tangga tercorot Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 10:41 AM