AZIM membuat lompatan ketika menjalani latihan di Hall 10, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). -Foto MUHAIZAN YAHYA
AZIM membuat lompatan ketika menjalani latihan di Hall 10, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). -Foto MUHAIZAN YAHYA
BERNAMA

SUKAN SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah penampilan keduanya dalam temasya dwitahunan itu namun Muhammad Abdul Azim Othman, atau lebih mesra dipanggil Azim, sudah bersedia untuk mengharumkan nama negara.

Anak jati Marang, Terengganu itu berkata, walaupun rakan sepasukannya Jeremiah Loo berjaya meraih pingat perak pada Sukan SEA Singapura 2015, tetapi gimnas artistik berumur 20 tahun itu optimis dia dan pasukannya akan memenangi pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini.

“Jika menang nanti, saya hendak dedikasikan pingat kepada mak ayah, keluarga, kawan-kawan, jurulatih dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada kami,” katanya.

Azim berkata, dia akan beraksi dalam lima daripada enam acara gimnastik artistik lelaki pada temasya kali ini.

“Saya akan bertanding dalam acara senaman lantai, kekuda pelana, melombol, palang sejajar dan palang tunggal tapi tidak dalam acara gelang roman,” katanya.

Azim akan memburu emas bersama rakan gimnas Jeremiah, Tan Fu Jie, Azroy Amierol Jaafar, Chau Jern Rong dan Zul Bahrin Mat Asri pada pertandingan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), esok.

Menurut pengurus pasukan gimnastik Azmi Hassan, Azim paling berpotensi dalam kategori melombol dalam kalangan rakannya.

“Saya dapat melihat kelebihan bakat Azim dalam acara melombol dari segi persembahan rutin yang sempurna dan tidak terjatuh. Bagaimanapun pesaing terdekatnya adalah Vietnam dan semuanya bergantung kepada siapa yang melakukan rutin paling sempurna pada hari pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 10:54 AM