NURUL akui beraksi di laman sendiri beri kelebihan kepadanya.
NURUL akui beraksi di laman sendiri beri kelebihan kepadanya.
Saiful Affendy Sapran


ATLET taekwondo negara Nurul Farah Alisa Roslan, 18, berhasrat menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sebelum ini, kali terakhir atlet taekwondo wanita negara meraih emas di temasya dwi tahunan itu adalah pada 2009 di Laos yang dimenangi oleh Che Chew Chan.

Nurul yang bertanding menerusi kategori bawah 57 kilogram berkata, beraksi di depan penyokong sendiri akan memberikan kelebihan kepadanya dan dia tidak mahu sia-siakan peluang terbaik itu.

“Memang sasaran utama saya adalah memenangi emas bagi memadam kemarau negara gagal memenangi emas sebelum ini.

“Bagi saya, Thailand adalah pencabar utama yang perlu diberi perhatian serius kerana mereka mempunyai atlet berpengalaman serta layak beraksi di Sukan Olimpik.

“Apapun saya tak mahu ambil kisah semua itu kerana apa yang penting adalah prestasi ketika turun beraksi.

“Dengan persiapan rapi yang sudah dilakukan selama ini termasuk menjalani latihan di Korea Selatan, saya yakin sudah cukup bersedia untuk beraksi di Sukan SEA kali ini,” katanya.

Walaupun sedar ranjau yang bakal diharungi untuk memenuhi impian itu cukup sukar, Nurul yang dilabel antara atlet berpotensi besar pada masa depan tetap yakin dengan kemampuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:44 PM