FARAH Alisa.
FARAH Alisa.
Aida Adilah Mat


Bangi: Atlet taekwondo, Nurul Farah Alisa Roslan beraksi cemerlang, sekali gus menyumbang emas buat Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada hari pertama acara kyorgi di Sukan Institut Pendidikan Tinggi Malaysia (SUKIPT), semalam.

Kejayaan itu memberi inspirasi buat atlet kelahiran Terengganu itu yang akan menghadapi Kejohanan Pra Sukan Asia di Indonesia, bulan depan.

Pada pertembungan akhir acara lightweight 57-62 kilogram (kg), Farah mudah membelasah lawan dari Kolej Universiti Sunway, K Kogulaveni dengan keputusan 64-11.

Kata Farah, dia tidak menjangkakan kemenangan selesa itu kerana ia adalah penyertaan pertamanya di temasya berkenaan.

“Terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang memberi tunjuk ajar serta sokongan.

“Tanpa mereka, mungkin sukar untuk saya mencapai kejayaan hari ini.

“Semoga rentak ini dapat dikekalkan sehingga Pra Sukan Asia nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan, P Thinagaran Naidu menyumbangkan emas buat kontinjen Universiti Putra Malaysia dalam acara featherweight 63-68kg.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur dalam kategori yang sama itu menewaskan Chua Xin Wei dari Kolej Universiti Sunway 31-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:38 AM