THINAGARAN (kanan) enggan mengalah walaupun berdepan cabaran sengit lawan.
THINAGARAN (kanan) enggan mengalah walaupun berdepan cabaran sengit lawan.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Atlet taekwondo negara, P Thinagaran berharap dapat menukar warna pingat kepada emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas gagal dalam dua edisi sebelum ini.

Thinagaran pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA Myanmar dan dua tahun selepas itu, dia berjaya meraih gangsa.

Namun, kelebihan beraksi di halaman sendiri kali ini mahu dimanfaatkan sepenuhnya atlet berusia 26 tahun itu.

“Saya memang sudah cukup bersedia untuk penampilan kali ketiga di Sukan SEA. Sudah tentu saya mahu menukar warna pingat kepada yang lebih baik dan ia pastinya emas.

“Lawan yang akan ditemui memang sangat mencabar, tetapi saya tidak boleh mengalah lebih awal,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Berbeza penyertaannya pada dua edisi sebelum ini menerusi kategori 68kg, Thinagaran akan beraksi dalam kategori 74kg di KL2017.

“Keputusan menukar kategori ini adalah atas nasihat jurulatih. Dia berharap dengan keputusan ini saya akan dapat meraih pencapaian lebih baik.

“Apapun, saya perlu memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri,” katanya.

Thinagaran mengaku masih berdebar untuk turun beraksi meskipun sudah mempunyai pengalaman di dua temasya dwitahunan itu sebelum ini.

“Walaupun sudah membuat penampilan pada dua Sukan SEA, perasan gementar itu masih ada tetapi saya tetap kekal positif.

“Paling penting, saya serta rakan sepasukan lain tidak boleh terlalu yakin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:38 AM