Rozaimi ketika menentang atlet Filipina, Arven Alcantara (kanan) pada aksi akhir Taekwondo (kyorugi) bawah 68kg Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Foto file
Rozaimi ketika menentang atlet Filipina, Arven Alcantara (kanan) pada aksi akhir Taekwondo (kyorugi) bawah 68kg Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Foto file
Saiful Affendy Sapran


ATLET elit taekwondo negara, Rozaimi Rozali berharap akan mendapat khidmat jurulatih baru bagi melakukan persiapan rapi menjelang temasya Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan yang juga tumpuan utamanya tahun ini.

Ketika ini, pemenang pingat emas acara kyorugi bawah 68 kilogram pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu masih menjalani latihan seperti biasa tetapi tanpa bimbingan ketua jurulatih, Kim Hong Gon dari Korea Selatan yang sudah tamat kontraknya hujung tahun lalu serta penolong jurulatih, Rusfredy Tokan Petrus yang berundur diri lebih awal.

Kedua-dua jurulatih itu menjadi watak penting di sebalik kejayaannya meraih emas di KL2017 tahun lalu sekali gus menamatkan badi gagal meraih emas dalam tiga edisi Sukan SEA sebelum itu.

“Kalau mengikut situasi ketika ini, sebenarnya ia tidak memberi impak sangat. Saya hanya meneruskan latihan seperti biasa.

“Tapi pada masa sama, saya memang berharap TM (Taekwondo Malaysia) dapat melantik jurulatih baharu yang mungkin lebih muda.

“Sebab fokus utama saya pada tahun ini adalah untuk beraksi buat kali pertama pada Sukan Asia selepas gagal beraksi empat tahun lalu kerana mengalami kecederaan lutut,” katanya.

Selepas berakhir KL2017 tahun lalu, Rozaimi menjadi satu-satunya atlet berstatus elit di dalam skuad taekwondo negara.

“Sekarang rakan sepelatih saya adalah barisan pelapis seperti Muhammad Iskandar (Zulkarnain),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:39 PM