NUR Humaira (dua dari kanan) bergambar bersama Dr Noor Azuan (kanan) dan Wan Muhammad Fazri (dua dari kiri), malam tadi. FOTO BERNAMA
NUR Humaira (dua dari kanan) bergambar bersama Dr Noor Azuan (kanan) dan Wan Muhammad Fazri (dua dari kiri), malam tadi. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas melakar kejutan meraih pingat emas di Sukan Sea Kemboja tahun lalu, atlet taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim berharap dapat meraih keputusan positif di pentas lebih besar iaitu Kejohanan Taekwondo Asia di Vietnam, Mei ini.

Atlet berusia 22 tahun itu yang sedang menuntut di Universiti Malaya berkata, ketika ini dia giat berlatih untuk kejohanan itu yang bakal menampilkan atlet terbaik di rantau Asia.

"Tumpuan saya pada tahun ini sememangnya Kejohanan Taekwondo Asia selain Kejohanan Poomsae Dunia. Saya letak sasaran untuk berada dalam kedudukan lapan terbaik di kedua-dua kejohanan ini.

"Untuk Kejohanan Asia, selaku tuan rumah, Vietnam memang kuat dan ada kelebihan. Kejohanan ini cukup kompetitif terutama membabitkan atlet Vietnam dan Thailand.

"Sekarang saya tak mahu fikirkan sangat saingan di sana, hanya fokus kepada latihan dan saya berada pada tahap terbaik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang merangkul gelaran Olahragawati Universiti Malaya pada Anugerah Sukan UM (ASUM) 2023, malam tadi.

Anugerah Olahragawan diraih Wan Muhammad Fazri Wan Zahari dan disampaikan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman..

Nur Humaira berharap dia terpilih untuk beraksi di Sukan Sea Thailand, tahun depan, sekali gus cuba mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Kemboja itu.

"Apapun segala keputusan terletak di tangan jurulatih. Saya hanya mahu mempersiapkan diri sendiri dengan fokus ketika latihan," katanya.

Nur Humaira mencipta kejutan di Kemboja apabila memenangi acara poomsae individu wanita ketika dia tidak meletakkan harapan tinggi.

Dia turut meraih perak menerusi acara berpasukan wanita bergandingan bersama kakaknya, Nurul Hidayah dan Lim Jia Wei dengan emas milik Filipina dan gangsa diraih Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 4:12 PM