Nidzam (tengah, atas) tagih khidmat Ifwat (kiri) dan Syawal beraksi di laman sendiri. FOTO HM
Nidzam (tengah, atas) tagih khidmat Ifwat (kiri) dan Syawal beraksi di laman sendiri. FOTO HM
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff tetap yakin dengan kemampuan ditunjukkan pemain mudanya menjelang pertemuan aksi Piala Malaysia kumpulan C antara Kedah menentang UiTM FC di Stadium Darulaman, malam esok.

Nidzam berkata, keyakinan itu disuntik berdasarkan tahap pemainan pemain muda semakin menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Malah kemampuan mereka dibuktikan dengan hasil keputusan dicapai oleh pasukan Kedah pada perlawanan yang diharapkan mereka menyerlah.

Menurutnya, aksi Amirul Hisyam, Syawal Nordin, Syafiq Ahmad, Ariff Farhan dan Ifwat Akmal semakin meningkat membuatkannya yakin kemampuan mereka.

“Tanggungjawab mereka laksanakan akan terus memberi manfaat buat skuad Helang Merah.

"Namun, dalam aksi bertemu Melaka United pada Sabtu lalu, tiga pemain muda iaitu Syafiq Ahmad, Ariff Farhan dan Ifwat Akmal tidak diturunkan akibat kecederaan dan kini mereka masih belum lagi pulih 100 peratus.

"Status tiga pemain masih cedera ini belum dapat diketahui sama ada mereka boleh beraksi atau tidak. Saya akan melihat dahulu bagaimana perkembangan semasa mereka," katanya.

Beliau berkata, bagi aksi bertemu pasukan UiTM FC, Amirul Hisyam dijangka akan kembali dan Syawal Nordin yang diturunkan dalam perlawanan lalu juga kemungkinan beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 5:30 PM