KIM Swee bergelut persiap pasukan sebelum kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Bangkok.
KIM Swee bergelut persiap pasukan sebelum kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Bangkok.

Shah Alam: Pengendali skuad Bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee dijangka tidak berdepan masalah untuk menghimpunkan barisan pemain terbaik dalam usaha menggondol ibu segala pingat pada temasya Sukan SEA 2017 bermula 14 Ogos ini.

Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menegaskan tidak ada alasan untuk mana-mana pasukan yang enggan melepaskan pemain bagi menyertai latihan pusat skuad B-22 memandangkan tiada lagi aksi Liga Malaysia (Liga M) ketika saingan Sukan SEA 2017.

“Latihan pusat skuad B-22 akan bermula pada 6 Ogos iaitu sehari selepas aksi Liga Perdana dan Liga Super dihentikan dan Kim Swee akan memanggil semua pemain untuk melapor diri pada tarikh itu.

“Jadi, saya melihat tidak ada masalah untuk Kim Swee memanggil semua pemain yang dimahukan termasuk enam pemain yang tidak dilepaskan sebelum ini memandangkan saingan liga sudah berhenti ketika itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad futsal wanita di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, semalam.

Sebelum ini, persiapan skuad B-22 bagi mengharungi kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 berdepan masalah apabila beberapa pasukan seperti Pulau Pinang, Pahang dan Johor Darul Ta’zim berkeras untuk tidak melepaskan pemain mereka susulan pertindihan jadual dengan aksi domestik.

Situasi itu memaksa Kim Swee melupakan khidmat enam pemain dan selepas dibelenggu masalah kecederaan, Kim Swee sekadar membariskan 22 pemain bagi mengharungi pusingan kelayakan di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 4:26 AM