Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Selepas dihimpit kontroversi kerana tidak mendapat pelepasan menyertai skuad bawah 22 tahun negara (B-22) sebelum ini, pertahanan Pahang, Matthew Davies dan pemain tengah Pulau Pinang, Syamer Kutty Abba berharap pintu masih terbuka untuk mereka beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Davies, 22, dan Syamer, 20, antara enam pemain yang tidak mendapat pelepasan ke kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu hingga menyebabkan jurulatih Datuk Ong Kim Swee terpaksa memanggil pemain pengganti pada saat akhir.

Bagaimanapun kali ini Davies percaya tiada sebab untuk Pahang menghalangnya andai dipanggil menyertai skuad B-22 bagi menghadapi Sukan SEA yang akan bermula pada 14 Ogos ini.

“Sememangnya ia satu penghormatan jika dapat mewakili negara dalam apa saja kejohanan sekali pun. Saya pernah bersama dengan jurulatih (Kim Swee) sebelum ini dan beliau tahu apa yang saya boleh berikan kepada pasukan.

“Saya fikir tidak ada masalah untuk mendapat pelepasan ke Sukan SEA kerana saingan liga akan berehat sepanjang temasya berlangsung tapi terpulang kepada jurulatih untuk menyenaraikan saya bersama pasukan,” katanya.

Selain Davies dan Syamer, turut tidak mendapat pelepasan ke Bangkok sebelum ini adalah Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran (Pulau Pinang), Safawi Rasid dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim).

Bagi Syamer, dia tidak kisah untuk dikritik andai ada peminat tempatan menganggap dirinya mahu menyertai skuad kendalian Kim Swee itu hanya selepas mereka menempa kejayaan mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan.

“Ada yang tak faham, saya tidak boleh bersama pasukan sebelum ini bukan kerana saya tidak mahu, tapi tidak mendapat kebenaran pasukan saya. Saya amat berharap untuk diberi peluang bersama pasukan ke Sukan SEA biarpun saya akui peluang kini 50-50.

“Bila pasukan cipta sejarah di Bangkok saya gembira kerana mereka berjaya, dalam masa yang sama saya sedih kerana tidak menjadi sebahagian daripada sejarah itu, tapi mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Kim Swee dijangka akan menyenaraikan skuad 23 pemain minggu ini sebelum kem latihan pusat bermula 7 Ogos ini bagi persiapan mengharungi saingan Kumpulan A Sukan SEA membabitkan pasukan Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:43 PM