Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akhirnya memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih Eric Wiliams bagi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, berkuat kuasa semalam.

Timbalan Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Williams dan pengendali kelahiran England itu bersetuju dengan tindakan berkenaan.

Katanya, punca khidmat bekas pembimbing Yangon United di Liga Myanmar itu tidak diteruskan adalah kerana ketiadaan keserasian antaranya dan pemain sehingga menimbulkan konflik serta menjejaskan prestasi di padang.

Sebelum ini, Williams direhatkan daripada tugasan pada aksi terakhir Liga Super ketika Melaka berdepan FELDA United.

“Namun kami belum menamatkan kontrak Williams dengan perbincangan lanjut bakal diadakan. Hanya khidmatnya tidak diteruskan berdasarkan keperluan untuk memastikan pasukan berada dalam situasi lebih positif selepas ini,” katanya.

Katanya, beberapa nama sedang diteliti untuk memimpin skuad Hang Tuah bagi menggantikan Williams dengan individu terpilih akan diumumkan secepat mungkin.

Menurutnya, apa yang menarik ramai jurulatih tempatan berpengalaman menunjukkan minat untuk mengendalikan Melaka selain pengendali luar.

Melaka kini berada di tangga ke-11 Liga Super dan berada di zon bahaya untuk tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:37 AM