ELAVARASAN (kiri) pernah mengendalikan skuad Melaka sebelum ini.
ELAVARASAN (kiri) pernah mengendalikan skuad Melaka sebelum ini.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Beberapa jurulatih popular di negara ini menjadi perhatian Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) untuk disenaraikan mengendali skuad terbabit bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Timbalan Presiden Musa, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, mereka termasuk bekas pengendali Terengganu , Irfan Bakti Abu Salim yang memiliki rekod cemerlang membimbing pasukan yang pernah dilatihnya.

Katanya, nama lain antaranya termasuk bekas jurulatih PKNS, E Elavarasan yang memiliki rekod baik sebagai pengendali sementara pasukan Melaka United sebelum ini.

Menurutnya, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan juga tersenarai dalam penilaian berkenaan selain pengendali import dan bekas pembimbing PJ City, K Devan.

''Apapun, semuanya terserah kepada panel pemilihan yang bermesyuarat esok untuk menentukan mereka yang akan membimbing pasukan pada saingan Liga Malaysia musim depan.

''Pemilihan jurulatih perlu disegerakan sebagai persiapan pasukan mengharungi liga yang semakin hampir mengikut penyusunan jadual oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL),'' katanya.

Apa yang pasti skuad berkenaan memerlukan persediaan lebih rapi bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan lain di pentas Liga Malaysia selepas gagal meraih sebarang piala musim ini.

Baginya, minat yang ditunjukkan ramai jurulatih terhadap Melaka memberi gambaran mereka bersedia membentuk pasukan g lebih disegani dalam kancah bola sepak Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 8:18 PM