Syazwan Msar

Phnom Penh: Irfan Shamsuddin terus mengekalkan statusnya sebagai raja lempar cakera Asia Tenggara apabila mengekalkan pingat emas yang dimenangi sejak 2013 di temasya Sukan Sea, sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Morodok techo itu menyaksikan Irfan melakukan lemparan 57.83meter (m) jauh meninggalkan pencabar lain untuk memenangi pingat emas keenamnya sepanjang penganjuran temasya itu.

Pingat perak pula menjadi milik atlet Thailand, Kiadpradid Srisai (51.89m) manakala rakan senegaranya Bandit Singhatongkul meraih gangsa (50.02m).

Kecemerlangan atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 27 tahun itu juga menceriakan kem olahraga selepas hari kelima acara balapan menyaksikan kontinjen Malaysia 'sendu' tanpa sebarang pingat.

Namun, menurut Irfan, di sebalik kemenangan itu juga timbul rasa 'bengang' apabila lontaran pertamanya yang mampu memecah rekod kejohanan iaitu 59.50m tidak dikira kerana kesilapan teknikal.

AKSI  Irfan  melakukan lemparan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AKSI Irfan melakukan lemparan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Saya marah ketika balingan pertama kerana saya tidak tahu sama ada dia (pegawai teknikal) khayal patut angkat bendera putih tapi tak sedar mengangkat bendera merah.

"Jadi, balingan pertama adalah rekod Sukan Sea kerana ia akan buang banyak tenaga. Mungkin saya dapat cipta lebih 59 meter kerana saya memang mahu cipta rekod baharu kerana sebelum ini cedera dan mahu berikan terbaik kali ini.

"Dekat sini cepat hilang tenaga jadi balingan pertama adalah sangat penting. Saya sangat kecewa dan marah kerana sudah hilang tumpuan pada balingan kedua dan seterusnya," katanya.

Sebagai rekod, Irfan mula menguasai acara itu sejak edisi di Nay Pyi Taw pada 2013 sebelum mempertahankannya di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017), Manila (2019), Vietnam (2022) dan terbaru adalah di Kemboja.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada mahu membuat bantahan membabitkan kesalahan teknikal itu, Irfan berkata dia akan berbincang bersama jurulatihnya bagi tindakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 7:13 PM