Syazwan Msar


Phnom Penh: Atlet wanita negara, Grace Wong membuktikan dia sukar digugat di pentas Sukan Sea apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara baling tukul besi yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.

Lebih manis lagi Grace yang meraih emas ketiga di temasya Sukan Sea turut cemerlang memecahkan rekod kejohanan menerusi balingan sejauh 61.88 meter (m).

Rekod lama dilakukannya ketika memenangi emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dengan balingan sejauh 59.24m.

Kejayaan Grace turut diiringi seorang lagi atlet muda negara Nurul Hidayah Lukman apabila memenangi gangsa menerusi jarak balingan sejauh 49.61m manakala pingat perak milik wakil dari Thailand Mingkamon Koomphon (57.62m).

GRACE mengibarkan Jalur Gemilang selepas meraih emas dalam acara baling tukul besi wanita. FOTO FATHIL ASRI
GRACE mengibarkan Jalur Gemilang selepas meraih emas dalam acara baling tukul besi wanita. FOTO FATHIL ASRI

Sementara itu, Grace berkata, cuaca panas di stadium terbabit sebenarnya memberi kelebihan kepada Grace untuk mencipta kejayaan di temasya dwitahunan itu.

"Saya boleh katakan cuaca panas memberi kelebihan untuk mencipta kejayaan. Boleh dikatakan kejayaan ini cukup bermakna selepas menjalani latihan intensif di China selama sebulan dalam usaha mengekalkan prestasi.

"Pada masa sama, saya turut berpuas hati dengan prestasi semasa dan hari ini mampu menghadiahkan emas pertama untuk kem olahraga negara," katanya.

Grace juga adalah pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 62.48m yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua tahun lalu.

Selain itu, Nurul Hidayah yang dianggap sebagai permata baru dalam acara lontar tukul besi turut berpuas hati dapat membawa pulang pingat pada penampilan pertama di sukan Sea.

"Walaupun terdapat insiden membabitkan masalah teknikal namun akhirnya saya disahkan sebagai pemenang gangsa acara berkenaan sekali gus berpuas hati dapat menyumbang pingat untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 1:31 PM