BUDAYA membaca mesti dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
BUDAYA membaca mesti dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Addin

Perkongsian di Facebook rasmi Perdana Menteri Malaysia tentang lukisan oleh seorang kartunis tersohor tanah air iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak terutamanya dalam kalangan warganet. Lukisan tersebut menggambarkan budaya membaca dalam kalangan kakitangan di pejabat Perdana Menteri suatu masa dahulu. Kata Perdana Menteri, budaya membaca perlu dipupuk terutama dalam kalangan generasi muda malah karya-karya besar perlu ditelaah oleh golongan tersebut supaya dapat mencambah daya fikir yang kritis sekali gus membuang jauh sifat bebal.

Dalam amanat yang disampaikan sempena Program Pertemuan Mahabbah Ulama dan Asatizah yang lalu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman beliau meluangkan masa untuk menelaah kitab Munyatul Musolli karangan Syeikh  Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau juga menekankan tentang peranan ulama dan umara serta guru-guru agama bagi mendidik, berdakwah, memberikan kesedaran serta mempertahankan tradisi ilmu dan akliah agar lahir umat pertengahan seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."

Membaca sememangnya menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dengan ilmu dan amal. Seorang sarjana dan pemikir Islam terkemuka iaitu Ali Syariati memperkenalkan istilah Rausyan Fikr untuk menggambarkan tentang kepentingan fungsi dan peranan ilmu serta amal dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang memerintahkan untuk menggunakan potensi akal yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Golongan yang menggunakan akal fikiran disifatkan sebagai Ulul-Albab iaitu manusia yang menyedari keberadaan dirinya serta tanggungjawab terhadap Tuhan untuk membawa perubahan dalam kalangan masyarakat ke arah kebaikan. Manusia yang digelar sebagai Ulul-Albab melalui proses pengembangan keilmuan, pemikiran dan akhirnya membentuk sebuah keperibadian yang unggul. Golongan yang berilmu dan beriman dimuliakan di sisi Allah SWT serta menjadi tempat rujukan ummah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: "Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui." Selain itu, Allah SWT juga memuliakan golongan tersebut sebagai orang yang paling takut terhadap-Nya seperti dinyatakan di dalam surah al-Fatir ayat 28 yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."

Seseorang individu yang mempunyai ciri-ciri Rausyan Fikr atau Ulul-Albab mestilah menguasai ilmu pengetahuan, mengambil iktibar dari peristiwa sejarah dan kejadian alam dengan mengkaji fakta-fakta penting yang terkandung di dalamnya. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 21 yang bermaksud: "Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna."

Ulul-Albab atau Rausyan Fikr juga adalah golongan manusia yang mempunyai kesedaran dan gerak hati yang tinggi untuk membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik. Justeru golongan tersebut bukan sahaja memiliki daya intelektual melalui pemahaman dan penguasaan ilmu tetapi juga melibatkan diri secara aktif dalam menangani isu dan permasalahan yang dihadapi oleh ummah seperti penjajahan, penindasan, dan kesenjangan ekonomi. Mereka juga komited melaksanakan pelbagai usaha dan agenda islah atau perubahan demi kemajuan negara dan masyarakat selaras dengan firman Allah dalam al-Quran surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Budaya membaca mesti dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Di Wilayah Persekutuan, persekitaran budaya ilmu dan membaca dihidupkan melalui pelbagai program keilmuwan dan pengimarahan di institusi masjid dan surau. Di Masjid Wilayah Persekutuan, program pengajian Jilsah Ulama diadakan bertujuan menyemarakkan kembali tradisi ilmu berasaskan kitab-kitab turath seperti kitab Minhaj Al-Talibin karya Imam Al-Nawawi. Selain itu, program Pondok Masjid juga menawarkan pengajian agama bermodul berpandukan kitab rujukan yang muktabar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Sesetengah masjid turut menyediakan perpustakaan mini bagi kemudahan jemaah dan ahli kariah sebagaimana disarankan di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024. Penerbitan kitab-kitab lama sebagai rujukan kelas-kelas pengajian di masjid diusahakan misalnya Kitab Matla' al-Badrain yang pernah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 1993. Buku tersebut disusun semula dengan bahasa yang moden dan mudah supaya lebih senang difahami. Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim juga beberapa kali menganjurkan program membedah buku bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga agensi agama. Semua inisiatif yang dilakukan bagi melahirkan generasi celik ilmu sekali gus menjayakan agenda islah.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 7:01 AM