SETIAP Muslim yang berkemampuan dinasihatkan tidak melengah-lengahkan menunaikan fardu haji.
SETIAP Muslim yang berkemampuan dinasihatkan tidak melengah-lengahkan menunaikan fardu haji.
Prof  Dr  Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Musim haji menjelang kembali. Pada waktu ini, para jemaah haji pastinya sedang sibuk membuat berbagai-bagai persediaan terakhir sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa  yang mampu sampai kepadanya. Dan barangsiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk." (Surah Ali Imran, ayat 97)

Menyedari akan kewajipan ibadat haji yang terpikul pada bahu setiap Muslim di samping kemampuannya yang telah melayakkannya untuk menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci, maka sudah sewajibnya setiap Muslim yang berkemampuan dari pelbagai sudut supaya tidak melengah-lengahkan lagi, bahkan bersedia dan bersegera untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.  Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya agar bersegera menunaikan ibadat haji apabila sahaja memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum berlakunya sesuatu ke atas dirinya, keluarganya dan harta bendanya yang boleh membantut niat dan azamnya ke Tanah Suci. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu bersegera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika dilewat-lewatkan)." (Hadis Riwayat Ahmad) 

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarak sehingga dia meninggal dunia), maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Baihaqi)

Jelas daripada hadis tersebut bahawa Rasulullah SAW memberi peringatan keras berkaitan kesudahan dan akibat yang akan diterima oleh orang yang sengaja melengah-lengahkan dan mencuaikan daripada menunaikan ibadat haji tersebut biarpun sudah memenuhi segala syarat-syaratnya. Oleh yang demikian, setiap Muslim yang berkemampuan dinasihatkan supaya tidak melengah- lengahkan masa lagi  untuk membuat persiapan haji seperti menyimpan wang secukupnya, mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji untuk urusan haji, menghadiri kursus bersiri haji dan menyelesaikan segala masalah yang berkaitan semasa ketiadaannya kelak. 

Amat mendukacitakan apabila terdapat sebahagian umat Islam yang sengaja melambat- lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi atau kerana kesibukan kerja seharian atau bimbangkan kepada siapa dan ke mana hendak ditinggalkan anak-anak atau memikirkan kepada siapakah yang akan mengendalikan projek pertanian dan perniagaan yang sedang meningkat atau takut kalau ditinggalkan begitu sahaja akan mengakibatkan kerugian besar. 

Walaupun  semua alasan yang dikemukakan merupakan punca yang akan mendatangkan keuntungan yang besar di dunia ini, namun perlulah diinsafi bahawa keuntungan tersebut hanyalah amat kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala  berlipat ganda yang diperolehi seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. Bukankah Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya sebagaimana pada hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Hadis Riwayat  Muslim)

Selain itu, terdapat juga kebimbangan sebahagian umat Islam  terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi semasa berada di Tanah Suci, terutama sekali apabila kedengaran rungutan dan aduan yang didengari daripada para jemaah haji yang lalu. Maka, mereka begitu terpengaruh dengan cerita-cerita tersebut sehingga membantutkan azam mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. 

Perlu ditegaskan ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami dan dihayati oleh setiap Muslim yang bertakwa. Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan dugaan yang akan menimpa ke atas dirinya sejak dari mula mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, semasa di lapangan terbang, semasa dalam perjalanan haji hinggalah sampai ke Tanah Suci. Hal ini kerana sudah menjadi suatu kebiasaan di dalam setiap perjalanan bahawa  seseorang akan berhadapan dengan berbagai-bagai dugaan dan rintangan yang  akan  menguji kesabarannya.  Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu adalah sebahagian daripada penderitaan." (Hadis riwayat Bukhari)

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat selalu oleh setiap Muslim, bukan sahaja dalam bab haji, bahkan ia juga amat penting sebagai bekalan hidup seorang Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.  Oleh  itu setia Muslim perlu bersedia dan bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsianya yang tersirat. Malah perlu diinsafi bahawa kesemua yang berlaku itu adalah kehendak Allah sebagai ujian kepada hamba-hamba-Nya untuk memperoleh haji  yang mabrur. Dalam hal ini, setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah agar dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menjunjung titah dan perintah-Nya. 

Barangkali inilah  hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Kesabarannya itu sebenarnya merupakan hasil atau buah yang diperolehinya daripada perjalanan spiritualnya menuju keredaan Ilahi. Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada seseorang itu memperolehi haji yang mabrur ataupun sebaliknya.

Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan di atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, perilaku maksiat dan dosa atau segala perbuatan yang dilarang oleh Allah. Oleh kerana itu, setiap jemaah haji wajib mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu secukupnya, perhiasan akhlak terpuji terutamanya sifat sabar dan ketakwaan serta keikhlasan yang kudus ke hadrat Ilahi agar ibadat hajinya diterima Allah.


Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 6:01 AM