MAKKAH himpun jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia pada musim haji.
MAKKAH himpun jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia pada musim haji.
Mohd Rizal Azman Rifin

TANAH Suci Makkah dan Madinah begitu dekat di hati umat Islam.

Bagi mereka yang sudah pernah merasai nikmatnya pergi ke Makkah dan Madinah semasa mengerjakan ibadat umrah pasti mahu mengunjunginya lagi.

Rasa rindu kepada tanah penuh barakah itu tidak pernah terpadam dalam hati umat Islam.

Kota Makkah juga dikatakan bandar yang tidak pernah ‘tidur’.

Apatah lagi pada musim ibadat haji, Kota Makkah menghimpunkan jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Rukun Islam kelima itu satu ibadat yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan baik dari segi kesihatan anggota tubuh badan dan keupayaan persediaan kewangan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 97, yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Itu ayat perintah yang Allah wartakan buat umat Islam dan setiap daripada kita seharusnya mempersiapkan diri dalam apa saja aspek demi melaksanakan perintah-Nya itu.

Alhamdulillah, syukur pada tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia bakal berada di Tanah Suci Makkah sebagai ‘tetamu Allah’.

Bagi yang masih belum dapat menunaikannya atau masih menunggu surat tawaran daripada Tabung Haji, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah makbulkan niat dan impian kita untuk berada
di bumi kelahiran nabi kecintaan kita, Nabi Muhammad SAW itu.

Tanamkan rasa yakin kepada Allah bahawa akan tiba juga satu masa kita pula akan berada di Tanah Suci.

Perkhabaran disampaikan Rasulullah SAW menerusi banyak sabdanya menjadi daya motivasi untuk kita menguatkan azam dan usaha ke sana.

Misalnya, Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanya oleh sahabat: “Amalan apakah yang paling utama?

Baginda SAW menjawab, “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Lalu ditanyakan lagi dengan soalan, “Lalu apa lagi wahai Rasulullah?”

Jawab Baginda SAW, “Jihad di jalan Allah.” Buat kali ketiga sahabat itu bertanya lagi, “Lalu apa selepas itu?”

Baginda SAW masih terus melayan persoalan yang dikemukakan kepadanya dengan bersabda: “Haji yang mabrur.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Bagi mereka tercapai hajat dan niat menunaikan ibadat haji pada tahun ini seharusnya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran.

Sehubungan itu, jemaah haji Malaysia sepatutnya memainkan peranan dalam membawa imej umat Islam sebenar sejajar dengan nilai agama yang suci.

Dengan kata lain, jemaah haji adalah duta Islam yang semesti menunjukkan budi pekerti serta akhlak yang murni lagi terpuji.

Selama ini, nama baik negara kita di mata para jemaah negara lain begitu harum. Tahap disiplin serta akhlak sentiasa menjadi ‘buah mulut’ mereka, sehinggakan pihak pemerintah dua Tanah Suci itu sentiasa memuji tingkah laku yang ditunjukkan jemaah dari negara kita.

Bagaimanapun, bukan pujian dan sanjungan yang mahu kita harapkan.

Akhlak terpuji khususnya buat jemaah semasa berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah adalah sifat semula jadi atau karakter masyarakat kita sejak dahulu lagi.

Jemaah haji negara kita juga mampu memainkan peranan besar menjadi penyatu ummah di Tanah Suci.

Di Tanah Suci juga seharusnya jemaah Malaysia tetap kekal mencorak bentuk hubungan sosial sesama jemaah lain agar menjadi umat bersatu bukannya ia ‘dibuat-buat’ lantaran berada di bumi suci.

Selain itu, sepanjang berada di bumi Makkah dan Madinah, prinsip hidup ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ juga perlu sentiasa diterapkan.

Setiap peraturan dan undang-undang yang dikenakan semata-mata untuk melancarkan perjalanan ibadat haji.

Jauhkan daripada rungutan dan kritikan kerana mematuhi setiap peraturan dan undang-undang juga bermakna kita berusaha menjadi jemaah yang baik dan sopan.

Semoga Allah mengurniakan kemudahan serta kesihatan terbaik buat seluruh sahabat atau saudara kita yang menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Semoga kita juga diizinkan Allah untuk menyusuri jejak langkah suci mereka pada tahun-tahun mendatang.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 8:32 AM