FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Antara perkara utama dalam kehidupan seorang Muslim ialah memastikan seluruh perjalanan hidupnya selamat daripada melakukan dosa. Walaupun manusia sering alpa dan melakukan perkara dilarang, Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat. Maka, hendaklah dia mengambil inisiatif dengan sentiasa berhati-hati dalam kehidupan agar tidak terjerumus ke lembah dosa yang menyebabkan seksaan di akhirat.

Inilah matlamat utama daripada kefarduan ibadah puasa Ramadan. Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Jelas daripada ayat ini matlamat utama ibadah puasa ialah bertakwa. Antara makna takwa ialah mematuhi perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Maksud ini sebenarnya tercerna di dalam ibadah puasa. Ia bukan sekadar menghendaki seorang Muslim menghayati bulan Ramadan. Malah, sepatutnya setiap kali berakhirnya Ramadan, dia semakin bertakwa.

Bahkan, Allah SWT masih lagi memberikan peluang besar kepada umat Islam supaya berusaha meneruskan makna daripada ibadah puasa dengan puasa sunat Syawal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa berpuasa Ramadan dan disertakan dengan enam hari di bulan Syawal, maka akan keluar dosa-dosanya sepertimana hari dia dilahirkan oleh ibunya." (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Di samping kelebihan Allah SWT khususkan kepada bulan Ramadan, bulan lain juga ada keistimewaan dan makna berbeza. Bahkan, mempunyai fungsi dan rahsia tersirat di sebalik peristiwa dan sejarah yang berlaku. Berkenaan bulan-bulan dalam Islam, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Larangan melakukan pembunuhan dan kezaliman pada bulan-bulan haram ini adalah sebagai manifestasi penerusan sifat takwa yang menjadi teras kehidupan. Pesanan kepada bertakwa menjadi salah satu rukun khutbah Jumaat. Itulah antara bukti penting kepada setiap Muslim agar bukan sahaja menghitung masa-masa atau bulan-bulan yang berlalu, bahkan mengambil pengajaran daripada silih-bergantinya setiap bulan dengan kelebihan dan pelajaran masing-masing.

Imam Ibnu Kathir menyatakan sebagaimana Allah SWT melarang perbuatan zalim (maksiat) di dalam bulan-bulan haram. Sekalipun ia dilarang sepanjang tahun cuma ia lebih berat apabila dilakukan di dalam bulan-bulan haram.

Terbukti dalam sejarah peradaban manusia dengan larangan yang terdapat dalam bulan-bulan haram ini, manusia telah dapat melalui kehidupan mereka denga aman dan tenteram. Tiada ketakutan untuk menjelajah ke seluruh pelosok negara dan tanpa sebarang kerisauan. Bermakna, tiada ketakutan dan dapat menjalani kehidupan harian dengan penuh ketenangan. Manakala, maksud haram mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah suci, tidak boleh dikerjakan hal-hal tertentu. Contohnya, Tanah Haram Makkah bermaksud Tanah Suci Makkah. Tanah Haram Madinah bermaksud Tanah Suci Madinah.

Manakala, bulan-bulan haram yang dimaksudkan ialah bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Hadis Riwayat Bukhari)

Banyak kelebihan disediakan Allah SWT dalam bulan-bulan ini. Bulan Rejab disebutkan bulan dipenuhi amal ibadat terutamanya ibadah puasa sebagai persediaan menghadapi Ramadan selepas bulan Syaaban. Manakala, masyarakat Arab menamakan bulan Zulkaedah sebagai bulan berhenti daripada melakukan pembunuhan dan kezaliman. Apatah lagi bulan Zulhijjah yang sangat banyak kelebihannya. Kelebihan pertama ialah ia bulan Haji kerana ibadah Haji dilakukan pada Zulhijjah.

Allah SWT berfirman: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj, ayat 27)

Pada masa ini Jemaah Haji mula memenuhi Makkah dan Madinah. Dua kota ini menjadi tumpuan umat Islam sepanjang tahun kerana ia tanah suci. Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa." (Hadis Riwayat Bukahri) Rasulullah SAW juga bersabda: "Solat di dalam masjid aku (Masjid Nabawi) adalah lebih afdal sebanyak seribu kali ganda solat di dalam masjid selainnya, melainkan Masjidilharam." (Hadis Riwayat Muslim)

Pada bulan Zulhijah juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah atau pada 9 Zulhijah. Rasulullah SAW bersabda: "Puasa pada hari Arafah menghapus dosa dua tahun, satu tahun yang lalu dan satu tahun mendatang." (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 6:00 AM