MANASIK haji dengan jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan perpaduan dan kesamarataan dalam kalangan penganutnya. FOTO AFP
MANASIK haji dengan jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan perpaduan dan kesamarataan dalam kalangan penganutnya. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Haji antara satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup. Ia bukan sahaja satu ibadah yang hanya membabitkan hubungan seorang Muslim dengan Allah SWT, tetapi juga menjadi simbol perpaduan dan kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Melalui ibadat haji, pelbagai elemen perpaduan dapat dilihat, yang semuanya berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Manakala manasik haji merujuk kepada segala amalan dan ibadat yang dilakukan jemaah haji di Tanah Suci Makkah, termasuk tawaf, sa'i, wukuf di Arafah dan melontar jamrah. Semua amalan ini mempunyai makna simbolik yang mendalam dan menggambarkan konsep perpaduan dalam Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk." (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Ayat ini menunjukkan bahawa haji adalah satu kewajipan yang mengikat semua Muslim tanpa mengira bangsa, warna kulit atau status sosial, melambangkan kesatuan dan persamaan dalam Islam. Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati." (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Manakala Rasulullah SAW dalam khutbah terakhirnya, menekankan aspek perpaduan dan kesamarataan antara umat Islam. Sabda baginda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu dan ayah kamu adalah satu. Seorang Arab tidak mempunyai kelebihan atas seorang bukan Arab dan seorang bukan Arab tidak mempunyai kelebihan atas seorang Arab, begitu juga dengan seorang yang berkulit putih atas yang berkulit hitam dan yang berkulit hitam atas yang berkulit putih, melainkan dengan takwa." (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Tawaf mengelilingi Kaabah dan sa'i antara Safa dan Marwah adalah amalan yang dilakukan secara bersama-sama oleh jutaan umat Islam. Ini melambangkan kesatuan hati dan tujuan yang sama dalam kalangan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya tawaf di Baitullah, sa'i antara Safa dan Marwah dan melontar jamrah dijadikan untuk mengingati Allah." (Hadis Riwayat Ahmad)

Elemen perpaduan juga wujud melalui pakaian ihram yang dipakai semua jemaah haji adalah simbol kesamarataan, di mana semua Muslim tanpa mengira status sosial, berpakaian sama.

Ini menghapuskan perbezaan kelas dan menggalakkan rasa persaudaraan. Begitu juga dengan ibadat wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah adalah kemuncak ibadat haji. Semua jemaah berhimpun di satu tempat, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia adalah manifestasi terbesar perpaduan umat Islam di seluruh dunia.

Seterusnya ibadat melontar jamrah di Mina adalah simbolik penolakan syaitan dan kejahatan. Jemaah haji melakukannya bersama-sama, menunjukkan kekuatan kesatuan dalam menentang musuh bersama.

Ini membuktikan ibadat haji adalah simbol perpaduan umat Islam yang paling jelas. Melalui amalan yang berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, umat Islam dari pelbagai latar belakang berhimpun di Tanah Suci untuk melaksanakan ibadah yang sama, berpakaian sama dan berdoa kepada Allah SWT.

Ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah SWT, tetapi juga mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Muslim.

Manasik haji dengan jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan perpaduan dan kesamarataan dalam kalangan penganutnya.

Bahkan, Islam sangat menekankan prinsip persaudaraan sejagat tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat ini menegaskan bahawa semua manusia adalah sama dan yang membezakan mereka hanyalah ketakwaan.

Manakala konsep ummah dalam Islam merujuk kepada satu komuniti global umat Islam yang bersatu dalam keimanan dan amalan. Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang, kelembutan hati dan tolong-menolong di antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh akan ikut merasakan sakit dan demam." (Hadis Riwayat Muslim)

Konsep ini menggalakkan perpaduan dan kerjasama antara Muslim di seluruh dunia.

Begitu juga dengan sistem zakat dan sedekah yang juga satu daripada lima rukun Islam yang bertujuan mengurangkan jurang ekonomi dan sosial.

Kesimpulannya, umat Islam sudah memberikan sumbangan yang signifikan kepada perpaduan sejagat melalui prinsip persaudaraan, keadilan dan kesejahteraan sosial yang diajarkan oleh Islam.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:02 AM