PANGGILAN Kaabah atau seruan haji begitu sinonim dengan setiap umat Islam.
PANGGILAN Kaabah atau seruan haji begitu sinonim dengan setiap umat Islam.
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Begitu cepat masa berlalu. Apa tidaknya, rasa macam baru sahaja merayakan Aidilfitri bagi menandakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa Ramadan.

Kini, seluruh umat Islam mengalih perhatian pula kepada ibadah haji. Meskipun bukan semua daripada kita berpeluang ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu, tetapi aura bulan haji tetap dirasakan semua masyarakat Islam di seluruh dunia.

Sesungguhnya, aktiviti ibadah kepada Allah tidak bernoktah dan ia secara berterusan dilakukan. Kini bulan ibadah haji bakal menjelang pula. Ibadah haji satu lagi ibadah fardu yang sepatutnya menjadi keutamaan kepada setiap diri umat Islam. Ia terangkum dalam Rukun Islam.

Panggilan Kaabah atau seruan haji begitu sinonim dengan setiap umat Islam dan boleh dikatakan semua kita akan memasang niat untuk melaksanakan Rukun Islam berkenaan. Tidak seperti ibadah fardu yang lain seperti solat umpamanya, haji adalah suatu bentuk ibadah yang memerlukan seseorang itu bersedia dalam pelbagai aspek sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Bersedia dalam erti kata persediaan diri dalam bentuk kesihatan tubuh badan, ketersediaan yang mencukupi daripada segi kewangan dan tidak terhalang dengan kesibukan serta kekangan hidup yang lain. Ibadah haji adalah ibadah wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.

Allah berfirman dalam Surah ali-Imran ayat 96 hingga 97 yang bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya Makam Nabi Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."

Kefarduan ibadah haji diperkukuhkan lagi menerusi sabda baginda SAW antaranya: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah memfardukan ke atas kamu sekalian kewajipan melaksanakan ibadat haji. Laksanakanlah fardu haji itu. Kemudian ada seorang lelaki yang mendengar sabda baginda bertanya, 'Adakah setiap tahun, wahai Rasulullah?' Baginda diam sahaja sehingga sampai tiga kali lelaki itu ulangi pertanyaan yang serupa.

Selepas itu, baginda SAW bersabda, 'Sekiranya aku menjawab ya, sudah tentu diwajibkan ke atas kamu dan ketika itu kamu tidak akan mampu melakukannya. Kemudian baginda menyambung lagi sabdanya, 'Biarkan dengan apa yang telah aku tinggalkan untuk kamu. Sesungguhnya orang yang sebelum daripada kamu binasa kerana terlalu banyak bertanya dan terlalu banyak berselisih faham dengan nabi-nabi mereka. Apabila aku menyuruh melakukan sesuatu, lakukanlah mengikut yang termampu dan apabila aku melarang daripada melakukan sesuatu, tinggalkanlah." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Ulama bersepakat meletakkan kefarduan ibadah haji dan keingkaran seseorang melaksanakannya akan membawa kepada kufur.

Kalau selama ini kita memberikan definisi jihad fisabilillah itu dengan konteks maksud keluar ke medan tempur untuk melawan musuh sahaja. Mungkin juga kita sudah biasa dengan pengertian jihad dalam konteks lain seperti melakukan aktiviti kemasyarakatan untuk membasmi kemiskinan atau sebagaimana sering juga diungkap bahawa menyebarkan ilmu pengetahuan bermanfaat buat manusia lain juga adalah satu bentuk jihad. Semuanya betul belaka.

Namun, satu lagi bentuk jihad kepada Allah ialah melalui ibadah haji. Ya, ibadah haji adalah jihad di jalan Allah. Ia dapat difahami selepas kita meneliti kisah berikut seperti yang terdapat dalam dua hadis.

Yang pertama, dikatakan bahawa seorang lelaki datang bertemu Baginda SAW lalu mengadu, "Sesungguhnya saya ini seorang yang penakut. Saya juga lemah. Lalu Baginda SAW menasihati lelaki terbabit dengan bersabda, Marilah melaksanakan jihad yang tidak terdapat sebarang kesukaran padanya iaitu mengerjakan haji." (Hadis Riwayat al-Haithami)

Satu lagi kisah ialah yang diambil daripada Abu Hurairah yang katanya, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Jihad orang tua, orang yang lemah dan wanita ialah menunaikan ibadah haji dan umrah." (Hadis Riwayat An-Nasai')

Manakala dalam satu kisah lain, dikatakan isteri Baginda SAW, Aisyah ada bertanya suaminya, "Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan, apakah kami boleh turut serta berjihad? Baginda SAW menjawab, Untuk kamu sekalian kaum wanita, ada jihad yang lebih afdal iaitu mengerjakan haji yang mabrur." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Demikian serba ringkas ibadah haji yang dilihat dari sudut pengertian jihad. Justeru, bagi sesiapa antara kita yang masih belum bergelar Haji atau Hajah hendaknya kita memasang azam yang teguh untuk melaksanakan perintah Allah itu. Yang belum mencukupi dari segi kewangan, hendaknya sentiasa menyimpan secara beransur-ansur dengan satu niat iaitu mencukupkan wang bagi keperluan berangkat ke Tanah Suci.

Kita yang belum ditakdirkan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sama ada bagi menunaikan ibadah umrah, apatah lagi ibadah haji perlu menaruh azam dan berusaha keras bagi mencapai cita-cita murni itu. Insya-Allah berkat kesungguhan usaha dengan mempersiapkan keperluan baik dari segi kewangan, mahupun kesejahteraan tubuh fizikal, Allah akan memakbulkan impian kita itu.

Kita juga tidak lupa untuk mendoakan semoga seluruh jemaah haji yang berkumpul di Tanah Suci ketika ini dipermudahkan Allah setiap urusan amal ibadah mereka dan bakal mendapat haji yang mabrur. Insya-Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:00 AM