IBADAH haji dilaksanakan dengan sempurna akan mendapat ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. FOTO AFP
IBADAH haji dilaksanakan dengan sempurna akan mendapat ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Berjaya menunaikan ibadah haji dengan sempurna setelah mendapat peluang atau kuota sangat terhad pada masa ini adalah suatu amat diidamkan terutama mereka yang sekian lama menunggu giliran menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Bakal tetamu Allah yang lama mendaftar dan menunggu giliran pula tidak sabar-sabar menantikan peluang tiba. Tambahan lagi pada masa hadapan peluang ini sangatlah sukar dengan keperluan menunggu giliran yang terlalu lama melebihi 100 tahun. Menurut sumber Lembaga Tabung Haji (TH), tempoh menunggu giliran haji bagi pendeposit yang baru mendaftar kini meningkat kepada 148 tahun.

Haji ibadah diwajibkan kepada umat Islam yang mampu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj ayat 27)

Secara tidak langsung daripada perhimpunan tahunan umat Islam ini memberi gambaran kepada dunia 'izzah' (ketinggian dan keunggulan) agama Islam yang sebenarnya. Konsep perpaduan dan kesatuan umat Islam seantero dunia dapat dilihat dengan sangat jelas daripada syiar ibadah haji yang membawa mesej yang sangat besar kepada seluruh dunia. Semua jemaah haji disatukan dengan ibadah yang sama dan dalam suasana tidak membezakan antara mereka berdasarkan negara, bangsa, jawatan dunia dan segalanya. Mereka masing-masing menumpukan untuk menyempurnakan ibadah haji dengan jiwa dan perasaan yang sama.

Secara konsepnya ibadah haji adalah Rukun Islam yang memerlukan kemampuan fizikal dan spiritual. Kesempurnaan ibadah haji sangat berkait dengan kekuatan fizikal untuk melaksanakan semua manasik mengikut apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW. Sabda baginda bermaksud: "Ambillah ibadat hajimu daripadaku." (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Nasaei)

Ibadah haji dilaksanakan dengan sempurna akan mendapat ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan rafath dan fasiq, nescaya keluar dosanya seperti baru dilahirkan oleh ibunya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengikut ulama, rafath ialah nama bagi setiap perkara yang lagha, kata yang keji, perlakuan maksiat dan juga gurau-senda yang melampau tanpa wujud perasaan malu di dalam jiwa. Maksud haji mabrur yang paling sahih ialah haji yang tidak dicemari dengan dosa.

Oleh itu, untuk mencapai tahap terbaik dalam menunaikan ibadah haji telah dibuktikan apabila selesai melaksanakan segala rukun dan wajib haji serta dalam masa yang sama tidak melakukan perkara yang berdosa. Untuk kekal sihat dan mampu menunaikan semua manasik haji yang berbentuk fizikal seperti bergerak ke Mina dan Padang Arafah pada hari wukuf bukanlah suatu yang mudah. Sebagaimana menunaikan ibadah solat atau puasa pada hari biasa pun sangat terganggu jika kesihatan terganggu, inikan pula ibadah haji yang menuntut kita bermusafir merentas jarak jauh dan memakan masa lama.

Justeru, kita biasanya menyaksikan jemaah haji akan mengambil apa jua jalan untuk memastikan keadaan kesihatan yang terbaik untuk menunaikan fardu haji. Di samping itu, kekuatan mental juga adalah sangat penting. Sebagai contoh, larangan semasa dalam ihram bukanlah suatu yang mudah untuk dijaga tanpa mental yang kuat. Mungkin dipandang remeh oleh sesetengah jemaah haji, tetapi bagi kebanyakan yang lain mungkin tersangat sukar. Maka, disediakan bayaran dam sebagai denda kepada mereka. Bukanlah semata-mata untuk menghukum, tetapi mengingatkan kita kepada pelanggaran batasan-batasan itu.

Begitulah kita melihat ruh (jiwa) daripada ibadah haji yang ditunaikan. Bermula dengan persiapan diri secara fizikal dan mental serta ilmu berkaitan manasik yang ditetapkan sehinggalah kepada kemampuan untuk tidak melakukan perkara yang menyebabkan dosa atau sehingga dikenakan dam. Ini seolah-olah satu kemuncak daripada ibadah dan pengabdian diri kepada Allah SWT. Bermula daripada ibadah solat sebagai ibadah harian yang juga tiang agama serta memerlukan kemampuan fizikal dan mental melalui kekhusyukan dalam solat. Kemudian, diikuti ibadah puasa yang matlamatnya adalah untuk melahirkan seorang Muslim yang bertakwa juga menuntut kesihatan yang baik dan jiwa yang suci dengan meninggalkan segala akhlak buruk. Sehinggalah kepada kewajipan menunaikan zakat, sama ada zakat fitrah dan semua jenis zakat yang lain.

Perkara ini menggambarkan bagaimana uniknya Allah SWT menyusun seluruh ibadah umat Islam sebagaimana disebutkan dalam rukun Islam. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku tentang Islam? Berkata Rasulullah SAW: Engkau mengakui bahawa tiada ilah melainkan Allah dan bahawa Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika berkuasa." (Hadis Riwayat Muslim)

Tegasnya, setelah mencapai kemuncak tertinggi daripada ibadah kepada Allah SWT, maka kita pula dituntut untuk mengejar yang lebih baik. Bukanlah ibadah ditunaikan semata-mata untuk tujuan yang sementara, tetapi mestilah meletakkan tekad untuk sentiasa mencapai yang lebih baik. Oleh itu, menurut Imam al-Nawawi beliau berpendapat di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari Baitullah. Rasulullah SAW bersabda dalam menjelaskan kelebihan haji yang mabrur juga ialah: "Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 7:00 AM