SYARIAT Islam menetapkan batasan dan sempadan yang mesti dipatuhi agar pergaulan itu tidak mengundang fitnah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
SYARIAT Islam menetapkan batasan dan sempadan yang mesti dipatuhi agar pergaulan itu tidak mengundang fitnah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Ajaran Islam mengharuskan pergaulan antara lelaki dan wanita untuk kemaslahatan hidup bermasyarakat dengan syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak. Dalam kesibukan melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian, sudah tentu berlaku pergaulan dan interaksi antara satu sama lain seperti bertegur sapa, pandang-memandang, perbualan, perbincangan dan kadangkala sentuhan. Justeru syariat Islam menetapkan batasan dan sempadan yang mesti dipatuhi agar tidak mengundang fitnah pada kemudian hari. Pergaulan antara perempuan dan lelaki yang tidak mempunyai hubungan dari segi syarak (ajnabi) diharuskan kerana situasi darurat, hajat atau keperluan yang dibenarkan oleh syarak dan kebiasaan adat setempat. Imam al-Nawawi misalnya menjelaskan bahawa pergaulan di antara perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan tersebut daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan lain.

Antara pergaulan yang dibenarkan oleh syariat adalah seperti urusan perniagaan, jual-beli dan aktiviti transaksi yang lain kerana kegiatan tersebut memerlukan berlakunya interaksi di antara kedua-dua belah pihak sebelum berlaku akad. Perempuan juga boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang ditentukan oleh syarak. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam kenderaan awam misalnya dibolehkan atas alasan keperluan seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya sebaliknya bukan untuk tujuan yang bercangah dengan syariat seperti berfoya-foya. Dalam arus kemajuan dan kemodenan serta kehidupan masyarakat yang berubah dan semakin mencabar, perempuan dan lelaki kelihatan seiring dan bergandingan dalam pelbagai sektor pekerjaan. Berdasarkan tinjauan oleh firma penyelidikan pasaran, TA Securities, terdapat kemajuan positif dari segi kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) wanita di Malaysia pada kadar 55.5 peratus pada 2021.

Dari sudut pandangan ajaran Islam, penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan adalah diharuskan. Bahkan boleh menjadi suatu tuntutan yang digalakkan sekiranya wanita tersebut memerlukannya dengan mematuhi syarat yang ditetapkan. Namun kebenaran tersebut sudah tentulah berlandaskan syarat memelihara batasan syariat seperti menutup aurat, menundukkan pandangan dan menjaga percakapan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud: "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."

Perkara paling utama adalah memelihara diri dan maruah dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama iaitu tabarruj seperti memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang dapat menarik perhatian lelaki ajnabi sekali gus menimbulkan fitnah. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu- wahai 'AhlulBait' dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)". Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat tersebut menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. Semua larangan dan tegahan yang ditentukan adalah selaras dengan kaedah 'sadd al-zari 'ah' iaitu menutup pintu-pintu yang boleh mendatangkan fitnah ketika pergaulan lelaki dan perempuan.

Baru-baru ini isu gangguan seksual di pejabat kembali menarik perhatian apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengeluarkan surat edaran berkaitan senarai larangan berhubung perbuatan tersebut. Surat berkenaan antara lain mengingatkan bahawa perbuatan curang atau menjalin hubungan sulit serta memanggil rakan sekerja dengan gelaran 'sayang' atau dear boleh dikenakan tindakan tatatertib. Ucapan 'sayang' dan dear oleh mana-mana pegawai awam yang mengganggu mangsa dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan. Manakala tindakan menyentuh, memegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati dan seumpamanya oleh penjawat awam pula merupakan kesalahan gangguan seksual secara fizikal. Penjawat awam juga dianggap melakukan gangguan seksual visual jika menghantar gambar tidak senonoh serta mesej berbaur seks atau sexting menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya. Semua kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Dalam konteks kawalan dan pencegahan dari aspek undang-undang Syariah, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang telah berumahtangga juga boleh mendorong kepada perbuatan yang dikategorikan sebagai kesalahan mengganggu rumah tangga orang lain. Perlakuan tersebut boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan tertakluk di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 36 (Memujuk lari perempuan bersuami), Seksyen 37 (Menghalang pasangan yang sudah bernikah hidup bersama), dan Seksyen 38 (Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan). Peraturan, undang-undang dan ketetapan tersebut dibuat bagi memastikan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita termasuk dalam kalangan mereka yang telah berumah tangga sentiasa dipatuhi dan terpelihara.

Resipi paling utama dalam memastikan garis panduan pergaulan antara lelaki dan perempuan sentiasa dipatuhi adalah dengan mentaati perintah dan saranan Allah SWT agar menjaga maruah dan pandangan sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Nur ayat 30-31 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.

Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:00 AM