BEKERJA bagi mencari sumber rezeki untuk keluarga diharuskan dengan mengikuti panduan ditetapkan syarak.
BEKERJA bagi mencari sumber rezeki untuk keluarga diharuskan dengan mengikuti panduan ditetapkan syarak.
Oleh Farisha Irwayu Abdullah

Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan yang sudah pasti ada syariat yang ditetapkan oleh-Nya. Malah, ketika melaksanakan tanggungjawab sudah tentu ada perkara yang perlu dijaga antaranya batas pergaulan lelaki dan perempuan terutama dalam kalangan masyarakat. Firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu, katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak atau anak tiri mereka atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya. - (Surah an-Nur 24:31)

Hakikatnya, ada batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Islam. Cuma kita ingin menekankan ketika dalam waktu bekerja. Batasnya sama sahaja dengan keadaan di luar pekerjaan. Tidak salah untuk suami dan isteri kedua-duanya bekerja mencari rezeki sama-sama membantu untuk menambahkan kewangan keluarga. Mungkin ada yang terfikir bagaimana untuk menjaga batas pergaulan ketika bekerja? Ini adalah antara cabaran yang dihadapi sama ada isteri atau suami. Bukan sahaja yang sudah berkahwin perlu menjaga aktilat (pergaulan atau percampuran antara lelaki dan perempuan), tetapi mereka yang bujang juga perlu sama-sama menjaga dalam hal ini. Pergaulan antara lelaki dan perempuan kerana keperluan (hajat) syarii dibolehkan. Antara keperluan syarii itu ialah pertama, pergaulan  antara lelaki dan perempuan dalam menguruskan muamalah maliyah (urusan harta) seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain (Nihayah al-Muhtaj, Abd al-Karim Zaydan). Kedua, pergaulan antara lelaki dan perempuan ketika bekerja. Semasa melaksanakan tugas dan kerja biasanya akan berlaku urusan antara lelaki dan perempuan. Ia dibolehkan dengan syarat kedua pihak menjaga perbatasan syarak antaranya menutup aurat, sama-sama menundukkan pandangan, perbualan atau komunikasi tidak mengandungi unsur yang boleh menimbulkan fitnah dan bukan kawasan yang tiada orang. Khalifah Umar al-Khattab pernah melantik seorang wanita sebagai pegawai penguat kuasa di pasar bagi memerhati keadaan di sana supaya tidak berlaku penyelewengan (Kitab al-Muhalla, Ibn Hazm). Pelantikan seorang wanita ketika bekerja sebagai penguat kuasa dibolehkan. Sekiranya pergaulan ini tidak dibenarkan kenapa Saidina Umar melantik seorang wanita? Ketiga pula, pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi dalam kes yang ditentukan syarak apabila perempuan boleh dijadikan sebagai saksi. Contohnya, kes harta dan perkara berkaitan.

Keempat, pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kenderaan awam dibolehkan kerana ia atas alasan sebagai keperluan yang mendesak. Oleh itu keharusan ini dibenarkan bergantung kepada syarak bahawa seorang wanita keluar rumah bukan atas dasar berfoya-foya. Jika ia mempunyai tujuan yang mengikut syarii maka ia dibenarkan seperti bekerja bagi menambahkan pendapatan menyara diri sendiri dan keluarga, menziarahi ahli keluarga, pesakit, perbincangan hal ehwal agama dan sebagainya.

Ketika Seminar Fiqh Wanita yang diadakan pada 2017, Datuk Dr Zulkifly Muda memberi tip menjaga pergaulan ketika berada di tempat kerja.

Pertama, niat perlu dijaga dan dibaiki sebagaimana yang dijelaskan di dalam Hadis Arbain (Imam Nawawi) : "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah serta Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapati atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada masa sama, mereka yang sudah bernikah perlu berusaha bagi menjaga batas pergaulan dengan rakan sekerja bertujuan menjaga hati pasangan. Kedua, komunikasi perlu dibataskan antara jantina yang berbeza, kurangkan dan sekiranya kalau boleh berkomunikasi perkara yang penting sahaja. Ketiga, hadkan jarak ketika berkomunikasi antara kita dan rakan sekerja berlainan jantina. Elakkan diri duduk bersebelahan dan terlalu hampir dengan mereka.

Kesimpulannya, elakkan diri berbual mesra dengan rakan sekerja berbeza jantina sama ada di tempat kerja mahupun di platform media sosial. Apabila lebih menjaga, ia akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan, menjamin ketenangan dan melahirkan kebahagiaan antara pasangan yang sudah berkahwin.

Penulis pelajar Sarjana Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 6:00 AM