MANUSIA juga diberikan kebebasan untuk memilih ketua dan pemimpin bagi mentadbir kehidupan bermasyarakat.
MANUSIA juga diberikan kebebasan untuk memilih ketua dan pemimpin bagi mentadbir kehidupan bermasyarakat.

SETIAP manusia diberikan kebebasan untuk membuat pilihan dalam kehidupan dan menanggung kesan serta akibat daripada sesuatu pilihan yang dibuat. Pilihan tersebut adalah antara perkara kebaikan dan keburukan atau jalan kebenaran dan kebatilan. Allah SWT menciptakan manusia secara fitrahnya cenderung ke arah kebaikan dan kebenaran sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 172 yang bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi." Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini."

Walaubagaimanapun Allah SWT juga memberikan kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Justeru terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada mahu menerima petunjuk yang disediakan dan bersyukur dengannya ataupun menjadi orang yang ingkar terhadap kebenaran yang telah ditunjukkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Insan ayat 3 yang bermaksud: "(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)."

Selain membuat pilihan antara pegangan iman dan kufur, manusia juga diberikan kebebasan untuk memilih ketua dan pemimpin bagi mentadbir kehidupan bermasyarakat. Namun ajaran Islam menggariskan ciri-ciri kepemimpinan yang perlu dipertimbangkan iaitu Al-Qawiy dan Al-Amin atau kuat, cekap dan berintegriti. Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." Kuat bermaksud mempunyai kemampuan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan sihat tubuh badan, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, memiliki kebijaksanaan dan melaksanakan keadilan kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa. Manakala amanah atau berintegriti pula bermaksud seseorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan yang diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menunaikan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji. Selain daripada kuat dan amanah, seorang pemimpin yang baik juga wajar dipilih dalam kalangan mereka yang komited melaksanakan tuntutan dan syariat Islam.

Kita juga disarankan untuk membuat pilihan bagi menyokong sebarang kempen dan seruan ke arah kebajikan. Ajaran Islam menggalakkan umatnya agar saling membantu dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Allah SWT memerintahkan setiap manusia untuk saling tolong-menolong di dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, sebaliknya melarang dari saling membantu di dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma'idah ayat 2 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)."

Antara pilihan terpenting yang perlu dibuat dalam muamalah seharian pula ialah memilih untuk memelihara hubungan silaturahim dan menjauhkan diri daripada sebarang perbalahan dan perpecahan yang merugikan. Firman Allah SWT dalam surah Ali 'Imran ayat 103 yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan (ikatan persahabatan atau kekeluargaan) dan jadilah engkau semua hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan (yakni tidak menyapa) saudaranya lebih tiga hari." (Muttafaq 'alaih)

Kita juga diperintahkan agar memilih untuk memelihara lisan dengan berdiam diri daripada berkata-kata yang tidak bermanfaat atau mengguris perasaan orang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau lebih baik diam (jika tidak mampu berkata baik)" - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). Segala bentuk dosa yang berlaku akibat daripada pertuturan lisan yang tidak terkawal hendaklah dijauhi seperti pembohongan, ucapan yang sia-sia dan melalaikan, pertengkaran, penghinaan, mempersendakan, mengaibkan, memfitnah dan pelbagai lagi. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Waspadalah terhadap pembohong! Sebab pembohong dan orang-orang yang zalim sama-sama dalam neraka" - (Riwayat Ibnu Majah). Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Mu'minun ayat 3 yang bermaksud: "Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia."

Hanya manusia yang membuat pilihan tepat dalam segenap urusan hidupnya serta menjadikan syariat Islam sebagai panduan akan dapat menikmati ketenangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sebaliknya mereka yang melakukan kesilapan dalam membuat pilihan akan sering menyesal dan berharap diberikan peluang untuk membuat pilihan berulang kali sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 99 yang bermaksud: "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 5:59 AM