Muhamaad Razis Ismail


KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ungkapan itu sesuai bagi menggambarkan Norshafiqa Mohamad Suhaimi, 28, yang mengikut jejak bapanya untuk terbabit dalam bidang elektrik sejak setahun lalu.

Tertarik dengan pekerjaan ayahnya sebagai juruteknik elektrik, anak kedua daripada lima beradik ini menanam cita-cita untuk meneruskan legasi terbabit dalam bidang sama.

Berbekalkan semangat juang dan iltizam yang tinggi, Norshafiqa berjaya merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang penjaga jentera elektrik A4 (chargeman A4) di sebuah syarikat sejak setahun lalu.

Biarpun menyedari pekerjaan itu mempunyai potensi bahaya elektrik, namun dek kerana minat mendalam, dia berjaya membuktikan kemampuan dalam bidang yang diceburinya itu.

Sebagai penjaga jentera A4, dia puas apabila melihat sistem elektrik beroperasi dengan lancar dan selamat selain dapat menyelesaikan masalah teknikal kompleks dan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik.

Norshafiqa berkata, dia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana di mana ayahnya bekerja sebagai juruteknik elektrik manakala ibunya mahir dalam bidang perniagaan sebagai peniaga makanan.

"Sejak kecil, saya dididik untuk menghargai pendidikan dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.

"Selepas menamatkan persekolahan, saya menyambung pendidikan dalam bidang kemahiran termasuk di sekolah vokasional dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka.

GENERATOR perlu diuji ketahanan atau kekuatan (tenaga)  untuk memastikan alternator dan enjin mengikut beban kapasiti yang betul.
GENERATOR perlu diuji ketahanan atau kekuatan (tenaga) untuk memastikan alternator dan enjin mengikut beban kapasiti yang betul.

"Di IKTBN, saya cabar diri untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan meneruskan kekompetenan Penjaga Jentera Elektrik A4 (chargeman A4) pada tahun 2021 hingga 2022 selama setahun dan berjaya memperoleh lesen.

"Alhamdulillah, selepas itu saya tidak perlu menunggu lama, apabila diterima bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan elektrik yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menyelenggara elektrik dan mekanikal sesebuah bangunan sebagai penjaga jentera elektrik A4," katanya.

Menurutnya, kerjaya sebagai chargeman A4 menarik minatnya apabila sering melihat ayahnya bekerja dengan tekun dan penuh dedikasi sebagai juruteknik elektrik.

"Pada masa sama saya tertarik dengan kepakaran dan pengetahuan teknikal yang diperlukan dalam bidang ini serta peranan penting yang dimainkan seorang chargeman dalam memastikan operasi sistem elektrik yang selamat dan efisien.

"Saya mula berkecimpung dalam bidang ini sejak 2023, sejurus selepas menamatkan pengajian dan mendapatkan lesen chargeman A4," katanya.

Katanya, sebagai chargeman A4, skop tugasnya termasuklah menyelenggara, memantau dan mengendalikan sistem elektrik di bangunan komersial dan industri.

"Tugas saya juga merangkumi pemeriksaan berkala, penyelenggaraan preventif dan pembaikan peralatan elektrik untuk memastikan keselamatan serta kecekapan operasi.

SEBELUM memulakan satu pekerjaan, Norshafiqa perlu memastikan prosedur kerja dilakukan dengan betul.
SEBELUM memulakan satu pekerjaan, Norshafiqa perlu memastikan prosedur kerja dilakukan dengan betul.

"Rutin harian saya membabitkan pemeriksaan awal sistem elektrik, penyelenggaraan berkala dan penyelesaian masalah yang timbul. Saya juga sering menghadiri mesyuarat keselamatan dan latihan berkala untuk memastikan saya sentiasa bersedia dengan teknologi dan prosedur terkini," katanya.

Dia mengakui, bekerja dalam bidang ini mempunyai cabaran dan risiko apabila berhadapan dengan potensi elektrik seperti kejutan elektrik, letupan serta kebakaran.

"Saya akui pernah berdepan dengan situasi kecemasan seperti litar pintas dan kebakaran kecil yang menguji ketahanan mental serta fizikal saya.

"Oleh itu, dalam melaksanakan tugas, saya amat menitik beratkan aspek keselamatan. Memastikan semua prosedur dan standard keselamatan diikuti adalah keutamaan saya untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

"Saya juga memastikan bahawa semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan dilakukan dengan tepat dan cekap untuk mengelakkan gangguan operasi," katanya.

Mengulas lanjut, bukan mudah untuk terbabit dalam bidang ini kerana seseorang perlu mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang kejuruteraan elektrik, kemahiran teknikal yang baik, serta sikap yang berhati-hati dan teliti.

Berkongsi pengalaman bekerja dalam pekerjaan didominasi lelaki, dia mengakui mendapat penerimaan yang bercampur baur.

"Namun, dengan menunjukkan kemahiran dan profesionalisme dalam kerja, saya dapat membuktikan kemampuan saya dan akhirnya mendapat penghormatan dan kerjasama yang baik daripada mereka.

"Bidang ini masih didominasi lelaki, namun semakin ramai wanita menunjukkan minat untuk menceburi kerjaya ini. Saya percaya bahawa dengan latihan dan pendidikan yang betul, lebih ramai wanita boleh berjaya dalam bidang ini." katanya.

Dia bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan penuh terhadap kerjayanya biarpun menyedari risiko yang perlu dihadapi.

"Mereka bangga dengan pencapaian saya dan sentiasa memberikan dorongan serta sokongan moral untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Norshafiqa berharap dapat terus berkembang dalam kerjaya dan mungkin mengambil lesen yang lebih tinggi dalam bidang elektrikal.

"Saya juga bercadang untuk menjadi mentor kepada wanita muda yang berminat untuk menceburi bidang ini, supaya mereka dapat melihat bahawa tiada batasan jantina dalam mencapai kejayaan.

"Nasihat saya kepada wanita yang ingin menceburi kerjaya ini supaya sentiasa berusaha keras dan tidak takut menghadapi cabaran. Tingkatkan pengetahuan dan kemahiran serta sentiasa patuhi prosedur keselamatan. Buktikan yang perempuan juga boleh buat kerja lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 7:02 AM