IBU bapa penyokong kuat Nur Damia.
IBU bapa penyokong kuat Nur Damia.
Nurul Husna Mahmud


HARI Kebangsaan memberi makna yang besar buat model cilik berusia 12 tahun ini.

Nur Damia Norzaimee adalah anak gadis tunggal pasangan suami isteri, Norzaimee Sukir dan Norizan Hamzah.

Kongsi Nur Damia, Hari Kebangsaan pada 2016 adalah kenangan cukup bermakna apabila dia memenangi pertandingan memperagakan pakaian sempena meraikan hari penting terbabit.

"Saya mula rasa seronok menjadi model kanak-kanak apabila memenangi acara menggayakan pakaian beragam sempena Hari Kebangsaan pada 2016 anjuran Marrybrown Sendayan ketika itu.

"Ketika itu saya yang berusia enam tahun menggayakan kebaya moden dan berjaya bawa balik hadiah utama iaitu basikal dan wang tunai RM150.

"Sejak itu saya dorong diri lebih serius dan aktif dalam apa sahaja pertandingan berkonsepkan kecantikan. Saya tidak hanya fokus pencapaian dalam negara semata-mata dan terbaharu dalam persiapan untuk Junior Idol World 2023 dijangka berlangsung di Bangkok, Thailand pada Januari tahun depan," katanya.

NUR Damia bangga setiap kali mengenakan busana tradisi.
NUR Damia bangga setiap kali mengenakan busana tradisi.

Kata model cilik itu, bukan dunia glamor yang dikejar sebaliknya dia menikmati pengalaman menggayakan busana selain cara berdepan orang ramai.

"Tidak dinafikan setiap hujung minggu sentiasa sibuk, kalau bukan kerana pertandingan, saya perlu hadiri kelas atau program tertentu.

"Kepenatan sudah dirasai seawal persiapan kerana pertandingan peragaan atau pemilihan ratu cantik kanak-kanak seperti Miss Little Glamorous Malaysia yang saya sertai pada tahun lalu mempunyai ramai pesaing hebat.

"Kejuaraan saya dalam pertandingan itu dinilai dari pelbagai sudut termasuk ketajaman akal dan kepetahan turut diuji ketika sesi soal jawab bersama juri.

MODEL cilik tak kejar dunia glamor sebaliknya mahu nikmati pengalaman menggayakan busana.
MODEL cilik tak kejar dunia glamor sebaliknya mahu nikmati pengalaman menggayakan busana.

"Pertandingan cantik atau model tidak hanya tengok pada kecantikan luar, ciri-ciri baik iaitu sikap dan disiplin juga antara perkara dilihat juri," katanya.

Mengenai pilihan atau konsep busana yang menarik minat Nur Damia, gadis itu pantas mengatakan menggayakan busana tradisional atau patriotik paling mengujakan.

"Setiap kali berpeluang memperagakan busana tradisional atau patriotik pasti akan sentiasa rasa bangga serta bersemangat.

"Paling tidak dapat dilupakan apabila setiap kali sesi bergambar dilakukan di luar, saya dapat melihat pelancong luar sangat tertarik dengan keunikan busana tradisi dan sering mendapat maklum balas yang sangat positif.

NUR Damia komited terhadap meningkatkan mutu persembahan di pentas peragaan.
NUR Damia komited terhadap meningkatkan mutu persembahan di pentas peragaan.

"Walaupun cara dan teknik pemakaian pakaian tradisi adalah lebih rumit memandangkan ia perlu dipakaikan dengan betul pada tempatnya serta banyak aksesori yang perlu diambil kira. Ia masih menjadi pilihan busana kesukaan saya.

"Sebagai contoh busana berinspirasikan tiga srikandi iaitu Tun Fatimah, Tun Teja dan Cik Siti Wan Kembang oleh pereka, Nik Hafiz Muhamad Afandi memupuk nilai kecintaan terhadap tanah air apatah lagi digabungkan dengan kombinasi warna Jalur Gemilang," katanya.

Menggayakan busana tradisi juga menonjolkan ciri-ciri gadis Melayu yang cukup terkenal dengan kesantunan dan ayu dalam kalangan masyarakat.

"Pembawaan diri atau personaliti ketika menggayakan busana trandisi 'automatik' menjadi 'ayu'. Begitu juga ketika dalam persalinan srikandi, saya berubah menjadi lebih berani dan tegas," katanya yang begitu mengagumi ketokohan kepimpiman Tun Abdul Razak dan aura Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma.

ANTARA penampilan Nur Damia dalam pertandingan ratu cilik kanak-kanak.
ANTARA penampilan Nur Damia dalam pertandingan ratu cilik kanak-kanak.

Sementara itu, ibu model cilik, Norizan mengakui dia dan suami sanggup berhabis dalam membantu anaknya melangkah lebih jauh dalam bidang peragaan atau ratu cantik.

"Ibu bapa yang memiliki anak berbakat sehingga berupaya menjana pendapatan sendiri menerusi bidang diceburi tidak lari dari menghadapi cabaran terutama pandangan masyarakat.

"Saya dan suami terima ia sebagai kritikan kerana yang penting adalah minat anak. Saya dan suami banyak korban wang ringgit dan tenaga kerana pertandingan ratu cantik atau model kanak-kanak menagih komitmen besar daripada ibu bapa.

"Kami banyak membelanjakan wang untuk kelas 'catwalk', kelas lakonan, tarian dan kelas vokal untuk Damia. Perkara lain seperti kos untuk perbelanjaan menyediakan busana, solekan dan jurugambar juga perlu ditanggung.

MEMENANGI pertandingan membantu menaikkan lagi keyakinan dan motivasi.
MEMENANGI pertandingan membantu menaikkan lagi keyakinan dan motivasi.

"Komitmen ibu bapa juga adalah dari segi tenaga dan masa kerana untuk menjayakan penyertaan dalam satu acara persiapannya mengambil tempoh lebih lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:30 AM