Nurul Husna Mahmud


MENYOROT imej ratu cantik bagi kebanyakan orang, peserta yang layak adalah si sunti yang memiliki pesona polos mewakili impian gadis serata dunia.

Hakikatnya, ada kategori ratu yang memberi ruang kepada wanita sudah berkeluarga untuk berada di pentas ratu bagi mengekspresikan kecantikan diri dalam pelbagai sudut.

Peluang itu dikongsi Niraneesewary Paramasivam, wakil Malaysia ke Mrs Glam World 2023 yang berlangsung di Cochi, India, baru-baru ini.

Wanita berasal dari Kuala Lumpur itu memenangi tempat kedua dalam pertandingan ratu cantik itu selain memenangi dua kategori iaitu The Best National Costum dan Most Inspiring Women Award Mrs Glam World 2023.

Dia yang mesra disapa Niran berkata, sebelum menyertai pertandingan ratu cantik Mrs Glam World Malaysia, dia sendiri skeptikal dengan kemampuan diri untuk menyertai pertandingan ratu cantik.

"Saya skeptikal mengenai pertandingan ratu cantik kerana selalunya ia khusus untuk gadis atau wanita bujang.

"Jauh sekali untuk saya yang berstatus isteri apatah lagi memegang 'title' ibu berpeluang melangkah ke dunia ratu cantik.

"Keinginan memang ada untuk menyertai pertandingan ratu, tetapi saya gapai hasrat itu agak mustahil.

"Sehingga ditawarkan bertanding dalam satu acara iaitu Mrs Glam World Malaysia oleh Lucky Joe Mahardika yang juga seorang 'Guru Catwalk,' saya terpilih mewakili negara ke peringkat dunia yang berlangsung di India,"

katanya.

Kata Niran, dia yang juga model berkata, ada jurang antara dunia peragaan pernah diceburi dengan dunia ratu cantik.

LUCKY Joe bantu latih calon ratu cantik.
LUCKY Joe bantu latih calon ratu cantik.

"Sebetulnya saya ingin mencabar diri mengikuti program di bidang seni fesyen, saya ada pengalaman dalam bidang peragaan selain daripada pekerjaan hakiki sebagai usahawan.

"Pertandingan ratu cantik pula dapat mengubah penampilan dari segi bentuk badan dan cara saya mengangkat diri sebagai ratu yang boleh menjadi teladan kepada ramai wanita berkerjaya. Pembawaan diri cukup penting dalam ratu cantik," katanya.

Justeru, apabila Niran berpeluang mewakili negara, dia sehabis daya mempersiapkan diri supaya dapat beraksi cemerlang dan menonjol di hari pertandingan.

"Pengalaman paling mencabar dalam pertandingan ratu cantik ialah saya perlu berjalan memakai kasut setinggi enam inci.

"Sejak tamat pengajian di kolej, saya sudah berhenti mengenakan kasut bertumit tinggi.

"Walaupun kekok perlu berjalan mengenakan kasut berkenaan, saya tetap berlatih sehingga lapan jam sehari berpandukan video 'coach' Lucky Joe.

"Pernah kaki membengkak sampai tidak boleh jalan selama tiga hari, tapi saya tetap meneruskan latihan apabila bengkak kaki surut untuk menjadi mahir.

"Persiapan lain juga saya ambil inisiatif dan mendapatkan maklum balas dari ratu cantik sebelum ini bagi menambah baik persembahan dan penampilan," katanya yang juga ibu kepada dua anak gadis berusia 16 tahun dan 12 tahun itu.

Pengalaman lain turut kongsi Niran ialah kotak membawa kostum menghadapi kesukaran ketika melepasi pemeriksaan imigresen.

NIRAN mahu beri inspirasi kepada wanita yang menyimpan impian ingin menyertai dunia ratu cantik.
NIRAN mahu beri inspirasi kepada wanita yang menyimpan impian ingin menyertai dunia ratu cantik.

"Disebabkan kotak simpanan kostum dibawa untuk kategori National Custom terlalu besar, pihak imigresen tidak membenarkan ia melepasi kawalan bagasi penerbangan.

"Saya terpaksa buka dan bungkuskan kembali sehingga mengikut saiz bungkusan dibenarkan. Kepayahan itu berbaloi apabila memenangi kategori terbabit," katanya.

Sementara itu, jurulatih tertib berjalan atau 'catwalk', Joe Lucky berkata, keunikan acara Mrs Glam World International 2023 memberi kesempatan kepada wanita sudah berkahwin untuk berada di pentas ratu cantik.

"Mrs Glam World International 2023 antara pertandingan ratu yang terbuka untuk wanita yang sudah berkahwin dan berkerjaya dengan harapan boleh membawa inspirasi dan pemikiran positif.

"Bagi Niran yang julung kali mengikuti pertandingan ratu cantik, saya lihat dia ada semangat atau ciri-ciri 'ratu' dalam pembawaan dirinya.

"Saya lihat kesungguhan termasuk berlatih cara berjalan selain inisiatif kuat untuk mendapatkan berat ideal supaya lebih menarik dan 'fit' ketika hari pertandingan.

"Dia juga ada kredibiliti iaitu memiliki kerjaya sebagai usahawan dan bijak menjadi kelebihan ketika sesi penjurian di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 7:01 AM