DANIA menguasai pentas peragaan dengan baik.
DANIA menguasai pentas peragaan dengan baik.
Nurul Husna Mahmud

Pesona ratu dimiliki Pemenang Miss Kuala Lumpur 2024, Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin ini berjaya mengaburi usia sebenarnya yang baru mencecah 17 tahun.

Menariknya anak tunggal perempuan pasangan Saliza Shaari, 48, dan Ahmad Ridhaudin Zulkifli, 51, ini juga turut membuktikan kualiti penilaian pemenang pertandingan kecantikan tidak hanya dinilai dari segi kecantikan luaran semata-mata.

Sebaliknya, pakej lengkap dicari meliputi keterampilan dan pembawaan diri sang ratu itu supaya sepadan dengan imej yang dapat menjadi inspirasi gadis dan wanita di luar untuk lebih berani.

Kata Dania Iza Hijazi, dia yang tampil sebagai model berhijab dalam pertandingan Miss Kuala Lumpur 2024 baru-baru ini juga dianggap satu percubaan berani apabila mencabar kemampuan diri untuk pergi lebih jauh dalam bidang glamor itu.

"Motivasi saya ialah saya suka beraksi di depan kamera dan tampil sebagai model dengan imej berhijab dilihat satu langkah berani untuk mencipta nama dalam bidang peragaan atau ratu cantik.

"Ramai anggap model dengan imej berhijab susah hendak pergi jauh apatah lagi untuk ke luar negara. Saya mahu ubah stigma itu dan beri harapan kepada gadis di luar yang mempunyai impian sama.

"Saya sahut cabaran menyertai Miss Kuala Lumpur dianjurkan Ascend 1 Institution Sdn Bhd yang juga barisan penganjurnya Pemegang Lesen Penganjuran Mrs Borneo Universe serta bekas pemenang Ratu Cantik MRS Universe Malaysia 2022, Amanda Ong.

"Alhamdulillah niat murni saya dilorongkan dengan kemenangan yang indah. Ia juga menjadi menjadi bukti tiada perkara mustahil dapat digapai jika dilakukan dengan kesungguhan dan keberanian," katanya.

Menyingkap kualiti pesaing dan cabaran digalas dalam pertandingan kali ini, kata Dania Iza Hijazi, laluan kemenangan tidak mudah kerana 13 peserta lain mempunyai aura dan kecantikan tersendiri.

"Sebenarnya persaingan dalam pertandingan kecantikan termasuk Miss Kuala Lumpur baru-baru ini disifatkan cukup sengit kerana ada antara mereka sudah ada kedudukan di peringkat antarabangsa contohnya Ella Bah yang pernah dinobat Ratu Asia selain pemenang dalam banyak pertandingan peragaan, Shora dan Zya Zara

"Jika dibandingkan pengalaman saya dengan mereka, saya antara peserta termuda dan tentu sahaja ada perasaan berasa gementar.

KOMBINASI kontemporari antara keunikan persembahan pereka busana Miss Kuala Lumpur.
KOMBINASI kontemporari antara keunikan persembahan pereka busana Miss Kuala Lumpur.

MOHAMAD Suhaizan pemenang kategori jurusolek.
MOHAMAD Suhaizan pemenang kategori jurusolek.

BARISAN penaja dan pelatih yang menjayakan penganjuran Miss Kuala Lumpur 2024.
BARISAN penaja dan pelatih yang menjayakan penganjuran Miss Kuala Lumpur 2024.

"Tetapi satu kebiasaan apabila ada tugasan atau berada dalam pertandingan, saya latih diri untuk terus fokus dan memainkan peranan diberi sebaik mungkin.

"Ketika itulah pengalaman pertandingan sebelum ini dan kelas peragaan dari mentor seperti Amber Chia, Nizam Jalil dan Lucky Joe sangat membantu.

"Pada pertandingan kali ini saya bukan hanya bertanding untuk diri, malah membawa harapan pereka baju dan jurusolek yang turut sama bertanding dalam kategori masing-masing," katanya.

Sementara itu jurusolek Dania Iza Hijazi, Mohamad Suhaizan Shaharudin yang juga pemenang bagi kategori solekan untuk Miss Kuala Lumpur berkata, personaliti dan juga penampilan antara aspek penting dalam menzahirkan kecantikan seseorang wanita.

"Selama 10 tahun dalam bidang solekan, penampilan dan personaliti membuatkan wanita itu kelihatan cantik dan menarik.

"Kalau wanita tidak menjaga penampilan diri mereka mungkin tidak menyerlah dan kelihatan tidak menarik. Rupa yang cantik hanya bonus, tetapi untuk kekal dalam industri perlu ada pakej.

"Begitu juga untuk pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa, kemahiran dan pengetahuan perlu seiring supaya wanita boleh mencipta nama tidak kira dari mana asal atau muda usia mereka," katanya.

Sementara itu, Amanda Ong berkata, penganjuran pertandingan itu dilihat satu usaha penambah baikan dalam program untuk melatih bakat baru dalam industri kecantikan tempatan supaya dapat melangkah lebih jauh di persada antarabangsa.

"Penganjuran pertandingan ini satu permulaan kepada usaha kami selaku institusi yang melatih bakat baru dalam industri kecantikan termasuklah bakal ratu cantik.

"Berdasarkan pengalaman saya yang pernah menyertai pentas ratu cantik dunia dengan mewakili Malaysia Mrs Universe di Sofia, Bulgaria, bakat yang ada di Malaysia tiada kurangnya dengan potensi penggiat luar.

"Saya berkongsi segala pengetahuan dan pengalaman ketika bertanding di luar negara dengan bakat baru dengan harapan mereka dapat peluang mengembangkan kerjaya di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:01 AM