NUR Zara ketika Junior World Universe Pageant di Kuantan, Pahang.
NUR Zara ketika Junior World Universe Pageant di Kuantan, Pahang.
Nurul Husna Mahmud


'KE mana tumpah kuah jika tidak ke nasi'

Ungkapan itu jelas menerangkan bakat model cilik Nur Zara Aamily Nazri yang diwarisi daripada kedua-dua ibu bapanya yang pernah berkecimpung dalam dunia glamor terbabit.

Tidak hairanlah pembawaan diri anak kecil berusia 10 tahun itu tampak menyerlah persis model berpengalaman bertahun lamanya dalam setiap pertandingan peragaan yang aktif disertai sejak setahun lalu.

Paling menonjol pencapaian gadis manis kelahiran Johor Bharu, Johor itu dalam Junior World Universe Pageant apabila menumpaskan 30 peserta lain di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menurut Nur Zara, dorongan utama 'terjun' ke dalam dunia peragaan dari kedua-dua ibu bapa, Dyanna Zamani dan Nazri Mohd Rashid.

"Ibu dan bapa saya orang yang bertanggungjawab melentur minat saya menyertai setiap pertandingan peragaan.

"Mereka banyak bawa saya sertai pertandingan dan ketengahkan bakat saya dalam apa juga platform.

"Malah, di usia remaja mereka pernah melalui pengalaman sama iaitu menyertai program atau pertandingan peragaan.

"Ibu pernah sertai Dewi Remaja sementara bapa masih menjadi model sambilan hingga hari ini.

"Jadi bakat dan minat saya terhadap dunia peragaan secara tidak langsung diwarisi daripada kedua-dua orang tua," katanya.

TIDAK kekok bergaya.
TIDAK kekok bergaya.

MAMPU mengendali kasut tinggi dan mengusai pentas.
MAMPU mengendali kasut tinggi dan mengusai pentas.

Dalam tempoh setahun menyertai pertandingan, Nur Zara menyifatkan bidang peragaan memberi peluang sama rata baik kepada penggiat baharu mahupun lama.

"Apabila menyertai pertandingan peragaan, saya tidak pernah rasa tertekan meskipun masih baru dalam bidang ini.

"Mungkin kerana 'vibe' pertandingan itu positif selain saya kerap terima kata-kata galakan dari peserta lain.

"Gugup juga hilang dan saya dapat beri fokus terhadap aksi ingin dipersembahkan ketika berdepan juri," katanya.

Meskipun baru, kata Nur Zara, itu bukan alasan untuk dia ambil ringan peranannya sebagai pesaing dalam pertandingan peragaan.

"Banyak lagi perlu saya pelajari antaranya cara berjalan dan aksi di depan lensa.

"Saya orang yang ceria dan gemar ketawa. Cabaran sukar berada di pentas peragaan yang mana memerlukan saya memberi ekspresi muka yang serius.

"Untuk membantu saya mengatasi masalah itu saya berguru dengan Nizam Jalil iaitu jurulatih dan guru untuk pentas peragaan serta acara ratu cantik.

"Saya mahu pergi jauh dalam dunia peragaan termasuk menjadi model ternama di persada antarabangsa," katanya.

Sementara itu, ibu kepada Nur Zara, Dyanna pula berkata, dia dan suami mula melihat bakat anaknya sejak usia lima tahun lagi.

IBU bapa pendorong dalam bidang peragaan.
IBU bapa pendorong dalam bidang peragaan.

"Saya dapati anak saya bukan hanya ada bakat, tetapi dia berminat dan komited dengan setiap pertandingan peragaan disertai.

"Sebagai ibu bapa kami beri sokongan kerana melihat impak positif terutama membina keyakinan dirinya ketika di hadapan orang ramai.

"Tambahan pula dia suka mengenakan pakaian cantik dan bergaya itu bonus untuk kami dorong kepada aktiviti yang positif serta memberi kebaikan," katanya.

Saranan Dyanna, ibu bapa perlu ambil inisiatif mengembangkan bakat dan minat anak.

"Ibu bapa jika perasan anak ada kelebihan dalam sesuatu kemahiran atau bakat, perlu dorong agar ia dapat berkembang.

"Belanjakan sedikit duit untuk dapat khidmat profesional agar potensi anak dapat disalurkan dengan betul.

"Kalau kapasiti terhad, dedahkan anak dengan pertandingan bermula pertandingan di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 7:01 AM