SEKUMPULAN wanita asnaf dan ibu tunggal menjadi perintis bagi mengikuti program keusahawanan menerusi Pelan Pembangunan Asnaf sejak awal tahun ini.
SEKUMPULAN wanita asnaf dan ibu tunggal menjadi perintis bagi mengikuti program keusahawanan menerusi Pelan Pembangunan Asnaf sejak awal tahun ini.
Mary Victoria Dass


MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) komited untuk terus mengupayakan dan memperkasa wanita dari keluarga asnaf menerusi penganjuran kursus kemahiran dan bimbingan secara berterusan.

Amin Baitulmal MAINJ Johor, Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata, usaha berkenaan bagi memastikan potensi kumpulan wanita berkenaan dapat direalisasikan dan membantu golongan itu keluar dari kepompong kemiskinan.

Menurutnya, sekumpulan wanita asnaf dan ibu tunggal menjadi perintis bagi mengikuti program keusahawanan menerusi Pelan Pembangunan Asnaf sejak awal tahun ini.

Katanya, mereka yang mengikuti bengkel menghasilkan kek kukus Johor dan tart sepit Johor juga didedahkan dengan ilmu pembungkusan, pemasaran serta pengurusan kewangan menerusi sesi seminar.

"Cabaran mereka bukan setakat untuk menguasai kemahiran membuat produk, malah bagi mencapai sasaran jualan secara individu serta berkumpulan.

"Selepas tamat tempoh latihan peserta ini akan menerima sejumlah geran daripada Majlis Agama Islam Johor dan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB).

"Geran untuk menggalakkan mereka meneruskan produk dipelajari selain menceburi bidang perniagaan demi mengubah nasib keluarga," katanya.

Mohd Firdaus berkata, MAINJ juga bakal menganjurkan bengkel jahitan dan pembuatan makanan sejuk beku sebelum hujung tahun ini.

PESERTA bengkel membuat kek dan tart menunjukkan hasil produk dan bergambar bersama panel ketika pembentangan hasil kerja di Danga Bay.
PESERTA bengkel membuat kek dan tart menunjukkan hasil produk dan bergambar bersama panel ketika pembentangan hasil kerja di Danga Bay.

Menurutnya, latihan secara simulasi diberikan tiga kali seminggu di pusat latihan dan Usahawan SERI diwujudkan sebagai nama pemangkin kekuatan di Danga Bay.

"Pemilihan wanita asnaf ini merangkumi peserta dalam kalangan ibu tunggal dan keluarga B40, selain diberi elaun RM500 sebulan sepanjang enam bulan kursus itu.

"Dalam tempoh enam bulan itu juga, produk dihasilkan mereka dijual di gerai jualan untuk asnaf yang dibuka.

"MAINJ juga dalam proses menjalin kerjasama dengan syarikat swasta bagi tujuan penjualan produk berkenaan," katanya.

Sementara itu, peserta, Rohaini Embok Dua, 48, berkata, dia yang mengikuti kursus bimbingan berkenaan sejak Januari lalu bersyukur kerana diberi peluang mengikuti kursus bimbingan berkenaan.

"Saya sudah lama berniaga secara kecil-kecilan, namun pernah mengalami kerugian beberapa kali terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kurang promosi.

"Namun, menerusi kursus latihan dan bimbingan ini, saya yakin mampu mengurus perniagaan dengan lebih baik serta membantu suami mengurus perbelanjaan.

"Ia berikutan empat anak kami berusia sembilan hingga 23 tahun masih belajar," katanya.

Sementara itu, Mentor Pembangunan Asnaf MAIJ, Rozita Muhamad Sanusi berkata, seramai 10 wanita asnaf terpilih diberi latihan selama enam bulan bagi menghasilkan produk berkenaan.

"Saya dilantik sebagai mentor bertujuan memberikan latihan, membimbing dan mengaturkan kelas seminar atau kemahiran serta laporan prestasi peserta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 6:16 AM