MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan geran bantuan.
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan geran bantuan.
Sulaiti Asri


Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) begitu sinonim dengan usaha memajukan masyarakat luar bandar sejak zaman merdeka lagi.   

KEMAS sudah memainkan peranannya melalui program yang dianjur dengan memberi bimbingan kepada masyarakat.

Kehadiran KEMAS di segenap pelosok negara dengan segala usaha dilaksanakan sepanjang enam dekad ini sesungguhnya berjaya mewujudkan banyak transformasi dalam kehidupan rakyat.

Ikuti wawancara Ketua Pengarah KEMAS, DATUK MOHAMAD YASID BIDIN bersama wartawan SULAITI ASRI mengenai pencapaiannya sepanjang 60 tahun ini.

Tahniah di atas sambutan 60 tahun KEMAS. Boleh Datuk terangkan sejauh manakah sumbangan diberikan KEMAS kepada pembangunan masyarakat luar bandar?

Selama 60 tahun KEMAS ditubuhkan pada 1961, banyak sumbangan diberikan kepada masyarakat Malaysia terutama untuk pembangunan.

Antaranya kita berjaya menyelesaikan masalah buta huruf membabitkan dua juta masyarakat di negara ini yang diberikan pendidikan terutama golongan dewasa buta huruf.

Kedua, kita berjaya mendidik seramai 7,330,432 kanak-kanak di Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) sejak ditubuhkan pada tahun 1971. Ini bermakna 25 peratus rakyat Malaysia adalah pelajar KEMAS.

Kita juga berjaya melahirkan 18, 477 usahawan yang kebanyakan mereka diajar asas keusahawan dan bermula sebagai usahawan mikro.

Selain itu, KEMAS juga berjaya melahirkan seramai 2,529 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di dua pusat latihan KEMAS iaitu di Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng. TVET ini menjurus kepada dua bidang saja iaitu jahitan dan kulinari.

Sepanjang tempoh ini juga, kita berjaya mengeluarkan guru terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Pendidikan Awal Kanak-kanak di KEMAS yang wujud sejak tahun 1971 dengan pembukaan 10 buah kelas dan dengan hanya 10 orang Pemaju Masyarakat pada masa itu telah mengalami perubahan demi perubahan. Impaknya pada tahun 2009, 475 orang graduan PERTAMA memiliki Diploma Pendidikan Prasekolah di Institut Perguruan Malaysia atau Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim.

Sehingga tahun 2022, KEMAS telah mempunyai 13,380 orang Pendidik Masyarakat tabika dan taska KEMAS yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Inilah antara sumbangan KEMAS yang direkodkan sepanjang 60 tahun  ini.

Boleh Datuk kongsi sedikit perkembangan mengenai tabika dan taska KEMAS.

Untuk pendidikan awal kanak-kanak, KEMAS sudah bermula di awal penubuhannya iaitu pada 1971 kerana pada waktu itu golongan yang buta huruf di negara ini berkurangan.

Tabika KEMAS bermula dengan hanya 10 tabika dan seramai 300 orang kanak-kanak pada masa itu diseluruh negara.

Alhamdulillah sehingga ke hari ini kita masih kekal dan kini mempunyai 10,740 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 207, 965 bagi sesi 2022.

Menerusi jumlah itu, kita boleh lihat perkembangan 100 kali ganda tabika dan taska KEMAS.

Kejayaan ini juga dibantu oleh seramai 16,199 kakitangan KEMAS.

Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) perlu dilaksanakan untuk membangunkan kemahiran insaniah dengan nilai kemanusiaan supaya kanak-kanak seawal usia yang juga tenaga kerja pada masa akan datang mampu bersedia mendepani cabaran dunia pekerjaan yang belum wujud lagi pada hari ini. Apakah inisiatif KEMAS bagi memastikan kanak-kanak serta pendidik diberikan pendedahan tentang PAK-21?

Untuk abad ke-21 ini kami  melihat pendidikan kanak-kanak lebih mencabar dan pastinya lebih banyak cabaran yang  perlu dihadapi.

Cabaran itu bukan saja dari bidang pelajaran itu, malah KEMAS juga dapat cabaran dari ibu bapa dan masyarakat yang mahukan anak-anak mereka lebih daripada sekadar pandai menulis, mengeja dan membaca.

Kini, kebanyakan ibu bapa mahukan anak mereka berbakat, berkeyakinan diri, personaliti baik dan sebagainya.

Hakikatnya, itu jugalah antara cabaran kami di abad ke 21.

Justeru, KEMAS perkenalkan program  STREAM di Tabika pada 2018 bagi menumpukan bidang sains, teknologi, keagamaan, kejuruteraan, kesenian dan matematik.

Menariknya, program ini berjaya menarik minat kanak-kanak melalui aktiviti pembelajaran secara hands on yang menekankan kemahiran bekerjasama, berkomunikasi, kreatif, berfikir secara kritis serta mengamalkan nilai murni iaitu selaras dengan  konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Modul STREAM ini juga bukan saja boleh meningkatkan prestasi anak-anak, tetapi kita juga boleh mengenal pasti minat mereka, sekali gus boleh memkembangkannya.

Hari Potensi iaitu pertandingan bakat dan sukan yang diadakan setiap tahun untuk mencungkil potensi kanak-kanak diawal usia mereka.

Ia membabitkan acara sukan seperti bola sepak, bola jaring manakala dari segi bakat pula modul ini mengetengahkan  acara pidato, hafazan, syair dan pengacaraan (top host).

PESERTA Kursus Jahitan Kreatif di Sewing World.
PESERTA Kursus Jahitan Kreatif di Sewing World.

Mulai tahun 2023, sebanyak 800 tabika akan mula beroperasi dengan pendigitalan dan dibekalkan dengan kemudahan pembelajaran seperti televisyen, komputer riba dan wifi.

Para guru juga sudah dilatih untuk menyediakan video pendek, pembelajaran melalui video dan bahan bantuan mengajar yang bersesuaian.

Dengan itu, sesi pembelajaran akan lebih meluas dan tidak terkongkong sekali gus menjadikan kanak-kanak lebih ke hadapan.

Tabika KEMAS berjaya membuktikan ia setaraf dengan prasekolah swasta dengan kejayaan memperoleh Anugerah Emas bagi Trusted Brand for Pre-School Learning Center oleh pihak Reader's Digest Asia bagi tahun 2017, 2020 dan 2022. Sepanjang pemerhatian Datuk, bagaimana komitmen KEMAS dalam usaha menjadi prasekolah pilihan ibu bapa seiring dengan anugerah yang diterima?

Antara punca kita boleh dapat adalah kokurikulum kita menggunakan Kokurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang mana semua prasekolah di Malaysia diwajibkan menggunakan kokurikulum ini sebagai modul Pembelajaran dan Pengajaran.

Kedua adalah dari segi tenaga pengajar di mana lebih 98 peratus daripada mereka mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Usaha ini berterusan bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Tabika KEMAS terjamin.

Kita juga mempunyai kokurikulum luar kelas yang secara tidak langsung membezakan Tabika KEMAS dengan tadika lain di pasaran termasuklah swasta dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, paling penting ialah Tabika KEMAS tidak mengenakan yuran kepada ibu bapa.

Namun, mereka hanya perlu memberi sumbangan dan sumbangan itu diputuskan oleh jawatankuasa yang dilantik berdasarkan keputusan mesyuarat jawatankuasa.

Setiap pelajar juga memperoleh peruntukan Geran Perkapita, GPK. Komponennya merangkumi penyelengaraan kecil, pembersihan dan utiliti, lawatan pendidikan, bahan pembelajaran & pengajaran, buku penilaian perkembangan dan alat kebersihan, pakaian seragam).

Bukan itu saja, pelajar Tabika KEMAS juga mendapat bantuan Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) untuk membekalkan nutrisi yang seimbang.

Jadi, inilah faktor menjadikan Tabika KEMAS jenama pilihan Masyarakat di Malaysia.

Selain tabika dan taska, KEMAS melahirkan ramai usahawan luar bandar melalui program pembangunan kemahiran yang dilaksanakan. Apakah program pembangunan kemahiran yang dilaksanakan oleh KEMAS?

KEMAS mempunyai satu lagi fungsi iaitu pembangunan ekonomi masyarakat yang merangkumi pembangunan keusahawanan dan sahsiah diri.

Dalam pembangunan ekonomi, KEMAS melaksanakan lima program iaitu program Quick Win, Program WINS, Program Asnaf Berdikari.

Program Quick Win memberi fokus kepada membina usahawan desa terutama B40 supaya mereka berpeluang mempelajari teknik dan kemahiran dalam bidang kemahiran jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan penghasilan sesuatu produk.

Program WINS atau Program Wacana Ilmu (Wanita Inspirasiku) pula adalah program berbentuk bual bicara bersama tokoh wanita dan pakar usahawan termasuk usahawan KEMAS yang sudah berjaya.

Bagi Program Asnaf Berdikari pula, ia usaha murni KEMAS bagi membantu golongan Asnaf Fakir meningkatkan kemajuan diri dan menceburi bidang keusahawanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menerusi program itu, mereka mampu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selain mampu menjana pendapatan serta meningkatkan pendapatan sedia ada.

Boleh Datuk terangkan bagaimana program pembangunan kemahiran itu dilaksanakan?

Untuk pelaksanaan program ini, peserta perlu menghadiri dan mengikuti Program Perantis/Perintis Keusahawanan bagi melayakkan mereka mengikuti Program Pengukuhan Keusahawanan (Coaching & Mentoring), Program Insentif dan Pembangunan Pembangunan Pemasaran Online/Pendigitalan (Media Sosial dan E-commerce).

Peserta yang sudah melalui proses audit, latihan dan pemantauan layak mengikuti Program Insentif dan Pembangunan Perniagaan yang menyediakan peserta kepada latihan bimbingan jualan melalui inkubator perniagaan perniagaan yang disediakan kepada peserta.

Pihak KEMAS negeri juga digalakkan mengadakan kerjasama antara pihak pembiaya contohnya bank, agensi, institusi pembiayaan kewangan sama ada berbentuk geran atau pinjaman untuk ditawarkan kepada peserta berkelayakan.

Program Promosi dan Pemasaran membolehkan peserta bimbingan KEMAS menyertai program jualan berbentuk karnival dan sebagainya sama ada di bawah anjuran pihak KEMAS, agensi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB).

Boleh Datuk terangkan lebih lanjut mengenai pelaksanaan program ini?

Menerusi Quick Win ini, masyarakat dilatih mengikuti minat sama ada memasak atau menjahit. Selepas mereka selesai latihan lebih kurang seminggu, usahawan ini adakan diberikan peralatan mesin jahit atau mungkin barangan memasak seperti dapur, ketuhar dan sebagainya.

Manakala Program WINS adalah kursus atau wawancara. Setiap tahun kita akan memanggil usahawan yang sudah berjaya dan mendapat bantuan menjadi antara panel yang berkongsi kejayaan mereka.

Program ini memastikan bahawa Kemas tidak melepaskan dia sebaliknya tetap berhubung.

Hasil didikan kita tadi, kalau masak kita akan ajar masak menu komersial sebagai contoh belajar buat nasi minyak, daging dan sebagainya.

Lepas belajar mereka boleh jadi usahawan. Kemudian kita juga ajar mereka masakan komersial. Usahawan kita lebih kepada mikro.

Kita juga membantu peserta untuk membuat pendaftaran Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM) dan lesen berniaga dengan dalam memudahkan urusan mereka.

Untuk masyarakat luar bandar pula seperti spiritual, kita ada program Bina Insan yang mana mereka ini memberikan bimbingan asas kepada masyarakat luar bandar seperti menguruskan jenazah, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Semua ini kita lakukan untuk memastikan penduduk boleh menjana pendapatan sendiri untuk menampung kehidupan.

Dengan pelbagai program dan perkembangan memberangsangkan dalam masa 10 tahun ini, apa harapan Datuk pada masa hadapan pula?

KEMAS ini adalah jabatan yang paling hampir dengan masyarakat. Justeru, pada masa hadapan KEMAS akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada masyarakat untuk mereka meningkat maju.

Antara sumbang kita pada masa hadapan adalah kita baru saja melancarkan Pusat Daya Maju. Menerusi Pusat Daya Maju ini kita akan menyediakan pelbagai jenis peralatan mesin jahit daripada mesin yang murah sehinggalah paling mahal.

Dengan itu, sesiapa saja yang ingin menggunakannya, kita alu-alukan. Tiada bayaran dikenakan kerana itu adalah sumbangan kerajaan kepada masyarakat.

Tujuan pusat itu ditubuhkan juga adalah untuk meningkatkan ekonomi mereka dan merapatkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

Jadi, kita juga akan buka bengkel masakan kepada masyarakat secara percuma.

SEORANG wanita menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Program KOSPEN
SEORANG wanita menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Program KOSPEN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 7:01 AM