SARIMAH (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada kakitangan membuat kek dan biskut terbaik.
SARIMAH (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada kakitangan membuat kek dan biskut terbaik.
Yusliza Yakimir Abd Talib


PERNIAGAAN bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya ia satu jihad untuk membuat lebih banyak kebajikan. Itu pegangan yang sentiasa tersemat kemas dalam sanubarinya.

Mengenali wanita yang tak lokek berkongsi ilmu ini cukup mengujakan kerana setiap kata-katanya sarat dengan dorongan dan motivasi. Maka tidak hairan bengkel masakan yang dianjurkannya sentiasa sesak dengan peserta yang tidak melepaskan peluang meningkatkan diri.

Bagi pengusaha Mad About Cake Cafe, Sarimah K Rasor, 54, dia menyedari ramai yang tidak mampu menyertai bengkel masakannya kerana kekangan kewangan, oleh itu biasanya dia memberi potongan harga 50 peratus khususnya peserta yang dipilih daripada senarai badan kebajikan.

Selain itu katanya, kelas promosi turut diadakan sekali sebulan dengan bayaran RM80 hingga RM90 untuk mereka yang kurang berkemampuan.

PESERTA bengkel tekun mempelajari ilmu disampaikan tenaga pengajar.
PESERTA bengkel tekun mempelajari ilmu disampaikan tenaga pengajar.

BENGKEL masakan untuk kanak-kanak turut disediakan.
BENGKEL masakan untuk kanak-kanak turut disediakan.

ANTARA peserta yang menyertai bengkel pembuatan kek dan biskut.
ANTARA peserta yang menyertai bengkel pembuatan kek dan biskut.

PESERTA gembira menerima sijil kehadiran bengkel.
PESERTA gembira menerima sijil kehadiran bengkel.

Niatnya hanya satu iaitu membantu lebih ramai wanita khususnya ibu tunggal daripada keluarga miskin bukan saja ilmu masakan tapi bagaimana mereka boleh memanfaatkan modal yang sedikit dan peralatan minima.

“Tidak semestinya tak cukup peralatan atau modal kita tidak boleh mula berniaga, jadi saya bantu dari segi bimbingan cara mudah atau tanpa modal besar untuk mula berniaga.

“Contohnya, untuk permulaan hanya jual donut kerana kosnya tidak besar. Saya bukan hanya mengajar saja tapi beri motivasi untuk mereka tambah baik kehidupan.

“Saya juga sedar ramai wanita ada niat nak bantu suami memandang kos hidup yang tinggi di Johor Bharu, Johor khususnya tapi mereka selalunya buntu, jadi di sinilah matlamat kami agar mereka hanya mulakan dari rumah saja daripada satu produk dulu dan tambah lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Bersama adiknya, Sarimah mengusahakan kafe itu di Johor Bharu yang kini giat menganjurkan bengkel pastri dan bakeri hampir setiap minggu di situ sejak 2014.

Bengkel bakeri yang diusahakan itu menurutnya memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mendalami selok belok perniagaan bakeri secara menyeluruh.

Malah bengkel yang dikendalikannya itu juga memberi penekanan terhadap pelbagai aspek termasuk latihan praktikal pembuatan kek dan roti sehinggalah aspek pengurusan serta motivasi.

“Membina keyakinan diri dalam kalangan peserta juga perkara penting kerana perniagaan ini cukup berpotensi untuk berkembang,” tambahnya.

Sehingga kini, bengkel usahawan yang diadakan mendapat sambutan peserta bukan saja di negeri itu tetapi ada peserta yang sanggup datang dari seluruh negara selain peserta dari Singapura dan Indonesia.

Pada masa sama menerusi bengkel itu, ibu tunggal turut mendapat perhatian apabila harga pakej berpatutan ditawarkan bagi membolehkan mereka mengikuti bengkel yang diadakan khususnya pembuatan kek dan roti.

“Berbekalkan pengetahuan diperoleh, mereka boleh membuka perniagaan meskipun bermula secara kecil-kecilan. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Apa yang menjadikan kelasnya menarik kerana bukan saja terdiri daripada peserta Bumiputera tapi berbilang bangsa. Kelasnya turut dihadiri ramai peserta lelaki.

Tidak cukup dengan itu, jika pihaknya berkeyakinan dengan mutu produk peserta, mereka akan membantu memasarkan produk berkenaan dengan syarat kualiti perlu sentiasa dijaga.

Kerjasama itu katanya sebagai langkah syarikat untuk berkongsi rezeki bersama pengusaha yang juga anak didiknya.

Selain kek, syarikat itu turut menghasilkan biskut cip coklat ‘Cookies Most Wanted’ secara komersial sejak empat tahun lalu.

“Selepas sambutan memberangsangkan diterima terhadap kek, kami mengorak setapak lagi ke depan dengan menghasilkan biskut. Menggabungkan bahan utama seperti koko dan cip coklat, biskut dibuat secara manual tanpa penggunaan mesin bagi mengekalkan kesegarannya.

“Kami berjaya membuktikan biskut hasil buatan tangan mampu setanding produk antarabangsa. Syukur dengan resipi kami sendiri, biskut ini menerima sambutan menggalakkan,” katanya.

Sarimah juga sering diundang menjadi juri dalam pertandingan memasak dan sehingga kini sudah melatih lebih 5,000 peserta menerusi bengkelnya.

Ibu kepada enam cahaya mata ini juga merancang untuk menawarkan peluang bekerja sambil belajar untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia di kafe itu.

“Peluang ini terbuka untuk belia khususnya jika mereka gagal mendapat tempat di kolej dalam bidang masakan atau yang tidak berkemampuan.

“Kita juga sediakan rumah sebagai asrama penginapan untuk pelajar perempuan yang berminat untuk menyertai dengan syarat masih bujang dan berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 8:02 AM