SAITINA bersama anak didiknya, Julia menunjukkan hasil roti yang dipelajari ketika menyertai bengkel pembuatan kek dan bakeri di Bandar Puteri, Klang.
SAITINA bersama anak didiknya, Julia menunjukkan hasil roti yang dipelajari ketika menyertai bengkel pembuatan kek dan bakeri di Bandar Puteri, Klang.
Nurul Husna Mahmud


MAHU melahirkan lebih ramai tenaga pengajar untuk bengkel membakar roti dan kek antara iltizam Saitina Saharudin, 43.

Menurut usahawan dan juga tenaga pengajar pembuatan kek dan bakeri dari Bandar Puteri, Klang, Selangor itu yakin jika lebih ramai tenaga pengajar bermakna lebih ramai usahawan kek dan roti wanita dapat dilahirkan.

"Saya sedar kelas membuat roti dan kek antara kelas masakan yang mahal kerana yuran dikenakan biasanya bermula ratusan ringgit.

"Buat segelintir wanita terutama golongan ibu tunggal dan asnaf, kadar yuran itu agak membebankan.

"Atas niat itu, saya mengajar dengan mengenakan kadar bersesuaian untuk kumpulan pelajar yang mengikuti bengkel," kata pengasas Tinazluvbakerz itu.

Katanya, dia tidak hanya menyasarkan pelajar mengikuti bengkel roti dan kek dapat menjana pendapatan menerusi jualan produk makanan itu semata-mata.

SEMANGAT terus melatih anak didiknya untuk terus menjadi tenaga pengajar berjaya.
SEMANGAT terus melatih anak didiknya untuk terus menjadi tenaga pengajar berjaya.

"Malah hasrat saya yang lebih besar iaitu mahu melatih lebih banyak tenaga pengajar pula," katanya.

Tambah Saitina, pada awalnya dia mengajar individu membuat roti dan kek secara 'suka-suka' pada 2013 dan aktif dengan penganjuran bengkel dua tahun berikutnya.

"Permintaan untuk kelas pembuatan roti dan kek sangat tinggi sekitar tahun 2015. Tanpa saya sedari fokus pendapatan juga beralih daripada menerima tempahan kepada tenaga pengajar.

"Kepuasan saya adalah mengajar kerana lebih ramai golongan saya dapat bantu. Maklumlah mengajar bermakna saya berkongsi ilmu dan anak murid dapat menjana pendapatan hasil bengkel dianjurkan.

"Anak murid boleh memilih sama ada menjadi usahawan produk roti dan kek atau tenaga pengajar.

"Sasaran tertinggi adalah sekurang-kurangnya saya dapat melatih tenaga pengajar berpengalaman dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

LEBIH ramai lebih mengujakan Saitina mengajar.
LEBIH ramai lebih mengujakan Saitina mengajar.

"Berbanding kepuasan ketika menjual roti dan kek, hanya golongan pelanggan sahaja dapat manfaat daripada produk saya," katanya.

Menyentuh mengenai latar belakangnya, Saitina mengakui tugas sebagai tenaga pengajar banyak membantunya dia menjelajah serata Malaysia.

"Sebelum saya bergelar tenaga pengajar, saya pernah bekerja dalam industri perkilangan sebagai eksekutif perniagaan.

"Didorong minat dalam pembuatan roti dan kek, saya tinggalkan kerjaya 'makan gaji' pada tahun 2012. Suami, Mohd Nazli Suhari, 44, juga beri sokongan penuh terhadap pilihan kerjaya bergelar pembuat roti dan kek ketika itu.

"Apabila saya jadi tenaga pengajar, suami juga antara individu yang menemani dan membantu saya membuat persiapan kelas.

"Kenangan paling tidak boleh lupa apabila kami turun ke Sarawak pada tahun 2017. Kami menempuh perjalanan jauh untuk mengajar masyarakat pedalaman iaitu wanita komuniti rumah panjang membuat roti dan kek.

"Mereka begitu mesra dan sangat mengalu-alukan kedatangan saya serta suami menganjurkan bengkel roti dan kek di tempat mereka," katanya.

SAITINA sanggup meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif perniagaan untuk ceburi bidang bakeri.
SAITINA sanggup meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif perniagaan untuk ceburi bidang bakeri.

Saitina berkata, hampir sedekad mengajar membuat roti dan kek, dia sudah melatih 20 tenaga pengajar yang aktif menganjur pelbagai bengkel serata Malaysia.

Sementara itu, anak didiknya, Julia Mohammed Kidam, 39, gembira apabila menguasai kemahiran membuat roti dan kek sehingga menjadi tenaga pengajar.

"Selepas menjadi ibu kepada dua cahaya mata, saya terpaksa berhenti kerja untuk memberi fokus membesarkan anak-anak dan menguruskan keluarga.

"Saya bersyukur apabila mengikuti kelas Cikgu Tina (gelaran Saitina) dan menjadi tenaga pengajar di bawah bimbingan beliau.

"Malah saya bukan sahaja menjana pendapatan, saya turut berpeluang menjelajah sehingga ke Brunei. Cikgu Tina banyak mengajar supaya berkongsi rezeki dan bersaing secara sihat dalam industri 'home bakeri' semakin ramai penggiatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:40 AM