GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengingatkan masyarakat supaya menjauhi fitnah terutama di media sosial kerana ia perbuatan berbahaya dan boleh mendatangkan mudarat, malah dosa memfitnah ini menghilangkan segala pahala dilakukan si membuat fitnah.

Penasihat MAINJ Datuk Noh Gadut berkata, jika tidak bertaubat, si pembuat fitnah tidak layak mendapat husnul khatimah dan segala kebaikan dilakukannya berpindah kepada orang yang difitnah.

"Jika sudah habis pahala, dosa orang yang difitnah itu pula ditanggung atas bahu dia, kemudian apabila sepatutnya dia masuk syurga tetapi sebab fitnah, dia masuk ke neraka.

Noh melihat peserta golongan asnaf membuat produk tart sepit dan kek kukuh Johor. FOTO OMAR AHMAD
Noh melihat peserta golongan asnaf membuat produk tart sepit dan kek kukuh Johor. FOTO OMAR AHMAD

"Kedua kesan fitnah ini terputus hubungan silaturahim. Nabi (Muhammad SAW) sebut, maksudnya orang yang putus hubungan silaturahim tidak layak cium bau syurga," katanya ketika ditemui selepas Perasmian Pusat Kemahiran dan Penghasilan Produk Asnaf SERI di Bangunan Baitulmal MAINJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan memfitnah, meskipun di media sosial, juga lahir daripada mulut dan hati, dosa tetap sama.

"Segala pahala akan 'dimakan' oleh dosa fitnah. Katakan dia sudah pergi haji 14 kali, memfitnah dan tidak bertaubat maka habis segala-galanya (pahala).

"Pembuat fitnah wajib bertaubat nasuha dengan segera dan memohon keampunan kepada Allah serta orang yang difitnah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:52 PM