Pengerusi Tindakan Daerah Datuk Abdul Rahman Mohd Reza (dua kiri) menyampaikan sijil kepada peserta kursus disaksikan Muhamad (kiri). FOTO ihsan Kemas.
Pengerusi Tindakan Daerah Datuk Abdul Rahman Mohd Reza (dua kiri) menyampaikan sijil kepada peserta kursus disaksikan Muhamad (kiri). FOTO ihsan Kemas.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan menyasarkan untuk membimbing dalam membantu melahirkan 30 usahawan dari kalangan keluarga asnaf yang berjaya menjelang pertengahan tahun depan.

Pengarahnya, Muhamad Abu Bakar, berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai kerana turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan MARA.

"Program Kemas bersama asnaf ini baru bermula dan buat permulaan kita sudah membantu 10 peserta perintis mengikuti kursus usahawan asnaf berdikari yang dijalankan di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Port Dickson, Jumaat lalu.

"Kursus intensif selama tiga hari itu mengandungi pelbagai aspek termasuk kemahiran pembuatan selain pengurusan perniagaan dan kewangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kemahiran yang mereka peroleh ialah cara membuat biskut dan kek mentega yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Kemas Daerah Rembau, Norzila Yusof dan tenaga pengajar Kemas Daerah Jelebu, Yushanlinda Yusof.

Menurutnya, Kemas turut menyalurkan sumbangan peralatan seperti ketuhar dan mesin pengisar kepada setiap peserta berkenaan.

"Kursus kemahiran pembuatan yang perlu diikuti peserta ditentukan pihak Kemas dan buat masa ini fokus diberikan kepada bidang makanan.

"Mereka boleh memulakan aktiviti perniagaan masing-masing sebaik tamat kursus dengan modal asas disalurkan pihak Mains," katanya.

Muhamad berkata, peserta akan terus dibimbing dan mereka yang menunjukkan kemajuan akan disaran diletakkan di bawah program agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, pihaknya akan menganjurkan dua lagi siri kursus berkenaan di Kuala Pilah dan Seremban mulai awal tahun depan.

"Matlamat kita untuk membantu setiap peserta ini berdikari dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian ekonomi keluarga sekali gus berupaya keluar daripada kelompok kemiskinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:37 PM