PATUHI peraturan SOP demi menjaga keselamatan pelanggan.
PATUHI peraturan SOP demi menjaga keselamatan pelanggan.
Nurul Husna Mahmud

Pemain industri spa majoritinya adalah wanita dan paling terkesan sejak pandemik tahun lalu sehingga kini.

Mengungkap 'survival' industri ini cukup mencabar apabila penawaran perkhidmatan adalah secara sentuhan langsung (body to body) menyebabkan lebih 30,000 pemain industri tempatan akur menangguhkan aktiviti itu meskipun menjejaskan perniagaan atau pendapatan utuh mereka.

Kesempatan penulis menemu bual dua pengusaha industri itu sedikit sebanyak membuka mata cabaran penggiatnya terdiri daripada pelbagai golongan pengusaha.

Menariknya, baik wanita dari peringkat B40 yang bergantung hidup dengan hasil daripada kerja itu selain pengusaha berjaya yang terpaksa akur mengecilkan prospek peniagaan masih menyimpan harapan industri berkenaan pulih serta rancak semula selepas pandemik.

Pengusaha Tulip Spa, Sharifah Baizura Syed Ahmad, 38, sebelum ini berkecimpung dalam dunia kewangan apabila pernah berkhidmat dengan firma audit memilih menceburi perniagaan spa kerana minat mendalam terhadap bidang itu sejak zaman belajar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu tidak lagi melatah apabila terpaksa menutup cawangan baharu di Manjung, Perak meskipun baharu beroperasi tidak sampai sebulan.

"Memang 'terduduk' juga apabila cawangan yang baharu dibuka tahun lalu terpaksa ditutup kerana tidak mampu lagi beroperasi dalam kerugian.

SENTIASA beri maklumat betul dan jelas mengenai SOP di spa kepada pelanggan.
SENTIASA beri maklumat betul dan jelas mengenai SOP di spa kepada pelanggan.

"Bayangkan saya sudah habiskan banyak wang untuk ubah suai premis dan pembelian mesin serta barang untuk spa itu. Tetapi, terpaksa mengambil keputusan tutup kerana memikirkan kos perlu ditanggung terutama sewaan kedai," katanya.

Tidak dinafikan dilema baginya apabila spa dibenarkan beroperasi, pelanggan di lokasi spa yang baharu mula bertanyakan mengenai perkhidmatan ditawarkan.

"Cabaran lebih sukar ketika saya menutup spa baharu itu apabila pelanggan mula bertanyakan mengenai servis ditawarkan.

"Waktu itu ada juga rasa ragu-ragu sama ada keputusan saya salah dengan menutup perniagaan di sana kerana ramai yang mahu menempah sesi. Tetapi, apabila sekali lagi kerajaan buat sekatan pergerakan penuh (SPP), saya rasa keputusan tepat," katanya.

TEKUN mempelajari dan meningkatkan skil untuk pelanggan.
TEKUN mempelajari dan meningkatkan skil untuk pelanggan.

Kata Sharifah Baizura lagi, demi kelangsungan perniagaan diceburi sejak 2012, dia terpaksa menukar kaedah menjalankan perniagaan daripada sebelum ini memfokuskan perkhidmatan spa kepada jualan produk dalam talian.

"Dulu tidak terfikir saya akan jual barang kerana fokus perniagaan spa ialah servis atau perkhidmatan yang dibayar pelanggan.

"Untuk pekerja pula, saya bersyukur kerajaan ada sediakan inisiatif untuk kami majikan dapat bantuan bagi kebajikan mereka. Jadi, saya dapat bantu pekerja yang masih berkhidmat dengan saya ketika ini seramai tiga orang daripada jumlah asal iaitu lima orang.

SELESA ruang spa diusahakan Sharifah Baizura.
SELESA ruang spa diusahakan Sharifah Baizura.

"Saya ambil masa dua minggu juga untuk fikir dan cari hala 'lubang' termasuk menjual produk di dalam talian. Meskipun tidak lumayan seperti spa, tetapi peralihan kepada bidang jualan itu banyak membantu saya bertahan sehingga hari ini," katanya.

Tambah Sharifah Baizura, meskipun keadaan ketika ini 'genting', tetapi dia tidak berhasrat meninggalkan bidang spa itu.

"Dalam setahun dua ini memang perit bagi saya usahawan spa tidak dapat menjana pendapatan daripada kerja utama kami.

SPA antara bidang sesuai diceburi wanita terutama ibu tunggal.
SPA antara bidang sesuai diceburi wanita terutama ibu tunggal.

"Memang banyak pengorbanan termasuk ada aset terpaksa dicairkan dan ada harta terpaksa dipajak seperti barang kemas. Saya optimis dan menganggap ini adalah sebahagian cabaran menjadi penggiat industri spa.

"Cuma berharap industri ini pulih dan mahu orang ramai yakin dengan kredibiliti pemilik spa memberikan perkhidmatan yang benar-benar selamat seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

NAZIAH
NAZIAH

Bagi ibu tunggal, Nazlia Sharif, 34, dia mengakui tiada langsung pendapatan dapat dijana daripada pekerjaan sebagai pengusaha spa yang bergerak dari rumah ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya pernah menjana sehingga RM4,000 sebulan menerusi kerja 'mobile spa' diusahakan sendiri sejak tiga tahun lalu.

"Apatah lagi saya ini ibu tunggal dan mempunyai tiga anak berusia lapan tahun hingga 12 tahun. Meskipun bekas suami ada beri nafkah untuk anak-anak, ia tidak mencukupi.

"Apatah lagi anak-anak terkurung di rumah, saya perasan keperluan barang dapur meningkat dua hingga tiga kali ganda. Itu memang mencabar," katanya.

Tidak berputus asa, kata Nazlia, dia kini menjual apa sahaja boleh mendatangkan pendapatan bagi menyara keluarga.

"Sementara tunggu aktiviti spa boleh beroperasi semula, saya cuba jalankan perniagaan kecil-kecilan. Ada jual produk kecantikan dan adakala jual makanan. Penting di sini saya usaha dan tawakal untuk cari rezeki demi anak-anak," katanya.

Peluang duduk di rumah bersama anak-anak itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk pengisian diri termasuk memfokuskan kerja promosi perniagaan spanya.

"Berbanding PKP 1.0, kali ini rasanya saya lebih bertenang dan ada rancangan apa yang perlu buat. Saya ambil peluang untuk isi masa dengan perkara yang mungkin saya tidak dapat dilakukan jika sibuk bekerja.

"Saya ikut kelas agama selain aktifkan diri di media sosial kerana pada saya penting untuk wujudkan kenalan dan rangkaian positif antara saya dan pelanggan berpotensi," katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Pertubuhan Spa Malaysia (AMSPA) Naziah Fir Khan berkata, kira-kira lima hingga tujuh peratus daripada pengusaha spa terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu lagi bertahan dalam keadaan ekonomi yang sukar.

"Saya anggarkan sekitar 300 daripada 4,000 pemilik premis terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak dapat lagi menanggung kos operasi.

"Cabaran bagi 30,000 penggiat atau pemain industri termasuk spa bergerak ialah mereka bertahan dengan jana pendapatan hasil sumber lain.

"Antara usaha persatuan ialah sentiasa mencari jalan membolehkan industri bergerak dan berkembang," katanya.

Terkini pihaknya berjaya menjalankan inisiatif 'e-voucer' bersama kerajaan Perak dalam usaha merancakkan lagi aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak KKM selain Majlis Keselematan Negara (MKN) bagi memastikan operasi membabitkan pengusaha dan ahli persatuannya selari dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi industri atau ahli kami lebih 30,000 seluruh Malaysia, kami tiada masalah untuk memenuhi keperluan SOP kerana menjadi tanggungjawab operator atau penyedia perkhidmatan ini sudah sedia mementingkan amalan kebersihan, kesihatan dan keselamatan pelanggan.

"Jadi, mungkin hikmah di sebalik pandemik ini ialah pihak berkenaan mula melihat spa tidak berdaftar sebagai ancaman serius kepada industri kesihatan ini," katanya turut berharap penggiat industri itu turut diberi keutamaan dalam senarai penerima vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:00 AM