PEKERJA dobi tradisional membasuh dengan tangan. FOTO BERNAMA
PEKERJA dobi tradisional membasuh dengan tangan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

BERMODALKAN kudrat tulang empat kerat, pengusaha dobi tradisional membantu orang ramai menikmati pakaian bersih hasil basuhan tangan dan digosok menggunakan seterika arang.

Walaupun ketika ini kedai dobi layan diri bagai cendawan tumbuh selepas hujan, perkhidmatan dobi tradisional di penempatan Dobi Ghaut, di Georgetown iaitu kawasan dobi terbuka sama seperti kedai dobi di Mumbai, India tetap menjadi pilihan pelanggan.

Pengusaha dobi tradisional, V Panchacharam, 60, berkata, permintaan terhadap perkhidmatan dobi tradisional itu masih ada dan beliau turut menerima tempahan pelanggan baharu selain pelanggan tetap dari Bayan Baru, Gelugor dan Teluk Kumbar memandangkan kaedah tradisional mencuci pakaian menggunakan tangan lebih bersih berbanding mesin basuh.

Bagaimanapun beliau yang mewarisi sebagai generasi kedua perniagaan dobi tradisional itu sejak hampir 40 tahun lalu memberi bayangan perkhidmatan itu bakal berkubur dalam tempoh lima ke sepuluh tahun.

SUASANA penempatan Dobi Ghaut. FOTO BERNAMA
SUASANA penempatan Dobi Ghaut. FOTO BERNAMA

Situasi itu, katanya, bakal terjadi bukan disebabkan perkembangan arus kemodenan, tetapi kerana perkhidmatan berkenaan tiada pelapis memandangkan generasi muda kini tidak minat meneruskan legasi dobi tradisional itu.

"Ketiga-tiga anak saya tak minat, tambah mereka dah belajar tinggi dan ada kerjaya. Tak macam saya dahulu, ayah paksa bekerja dengan dia, tolong cuci baju. Saya tiada pilihan dan teruskan perniagaan ayah sejak tahun 1950-an lagi. Kerja menguruskan dobi tradisional memerlukan tenaga dan kesabaran.

"Mungkin sebab itu generasi muda tidak berminat basuh kain dengan tangan yang dianggap membebankan. Tapi bagi saya kalau saya tak buat kerja ni badan akan sakit-sakit. Kerja ini sebahagian daripada senaman untuk saya sihat dan berpeluh," katanya.

LAKSHUMANAN merendam baju dengan air panas di dalam kuali besar sebelum dibasuh.  FOTO BERNAMA
LAKSHUMANAN merendam baju dengan air panas di dalam kuali besar sebelum dibasuh. FOTO BERNAMA

Panchacharam berkata, sebelum ini ada 100 pengusaha dobi tradisional India di penempatan itu, tetapi kini hanya 12 yang masih menawarkan perkhidmatan.

Beliau berkata, rutinnya bermula dengan mengutip kain kotor daripada pelanggan selama dua hari dan mengasingkan pakaian kotor itu berdasarkan warna sebelum direndam di dalam air panas dan sabun semalaman dan diberus keesokan harinya. Selepas itu ia diperah dengan tangan serta dikeringkan di bawah matahari sebelum digosok.

"Sebelum ini, kain yang dibasuh dikeringkan di bawah matahari tanpa mesin pengering. Tapi kini saya perlu guna mesin pengering untuk mempercepatkan proses kerana kadang-kadang cuaca mendung dan hujan. Kebanyakan pelanggan terdiri individu, pengusaha restoran, katerer dan sebagainya," katanya yang turut dibantu isterinya, P Susila, 59, dan dua pekerja.

PAKAIAN dijemur di bawah matahari. FOTO BERNAMA
PAKAIAN dijemur di bawah matahari. FOTO BERNAMA

Panchacharam berkata, kebanyakan pengusaha dobi tradisional sudah berusia dan beliau mahu meneruskan perniagaan selagi termampu.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha dobi tradisional, A Lakshumanan, 58, berkata, beliau bercadang melepaskan perniagaan yang diwarisi daripada ayahnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Mengakui pelanggannya berkurangan sejak sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, situasi itu berlaku disebabkan persaingan kedai dobi serta kemudahan mesin basuh.

PANCHACHARAM  menunjukkan  pakaian pelanggan yang tidak boleh dihantar berikutan  PKP. FOTO BERNAMA
PANCHACHARAM menunjukkan pakaian pelanggan yang tidak boleh dihantar berikutan PKP. FOTO BERNAMA

"Masa zaman ayah saya, memang orang bergantung pada dobi tradisional sebab tiada mesin basuh. Bila ada mesin basuh, orang ramai basuh sendiri. Bagaimanapun, sehingga kini saya masih kekalkan tradisi membasuh dengan tangan," katanya yang mengusahakan perniagaan sejak berusia 25 tahun.

Tambahnya, sepanjang PKP ini beliau menerima tempahan daripada pelanggan, namun dalam kuantiti sedikit disebabkan pergerakan terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:40 AM