ANTARA produk yang dipasarkan. FOTO Aziah Azmee
ANTARA produk yang dipasarkan. FOTO Aziah Azmee
Muhamaad Razis Ismail

SELAIN terbabit dalam bidang usahawan, wanita ini turut bergelar guru bahasa Arab dan al-Quran sejak 2016.

Pada masa sama, beliau turut menerima jemputan untuk menjadi penceramah daripada agensi kerajaan dan swasta berkenaan pengurusan masa, emosi dan keibubapaan.

Ibu kepada dua anak ini berkata, semuanya berubah ketika beliau melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin di sebuah universiti di Syria.

Kata Sharifah Zahidah Syed Nooh, 32, mengikut perancangan selepas belajar di sana, beliau akan menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Bagaimanapun, ketika berada di sana semuanya berubah apabila saya banyak belajar mengenai kehidupan sebenar yang berlandaskan al-Quran.

"Di Syria saya dapati kebanyakan guru hafal al-Quran memiliki dua pekerjaan. Contohnya sebelah pagi sebelum Subuh mereka sudah berada di masjid untuk mengajar al-Quran dan kemudian 9 pagi mereka bekerja sebagai jurutera, peguam, doktor dan sebagainya.

"Malah, budaya berniaga di sana juga sangat bagus. Menyedari perkara itu, saya cuba aplikasi dalam kehidupan selepas kembali ke negara ini," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, selepas berada di Syria selama lima tahun, beliau kembali ke negara ini dan memulakan perniagaan pembuatan kuih raya secara kecil-kecilan di rumah.

TIDAK kekok membantu pekerjanya menyiapkan tempahan pelanggan. FOTO Aziah Azmee
TIDAK kekok membantu pekerjanya menyiapkan tempahan pelanggan. FOTO Aziah Azmee

"Pada ketika itu saya tiada asas mengenai perniagaan dan hanya sempat sertai beberapa kursus biasa.

"Alhamdulillah dengan ilmu yang sangat sedikit, saya berjaya buat jualan sehingga RM20,000 pada bulan pertama memulakan perniagaan," katanya.

Susulan itu, Sharifah Zahidah tidak menoleh ke belakang dan terus fokus dalam bidang perniagaan biarpun sejak kecil menyimpan cita-cita untuk menjadi peguam berjaya di negara ini.

Ditambah dengan kepetahannya bercakap ketika ditemu bual, penulis rasakan wanita ini adalah individu yang layak untuk jawatan itu.

Sebaliknya, Sharifah Zahidah memilih untuk menjadi usahawan wanita dalam pembuatan kuih raya sejak beberapa tahun lalu.

"Sambutan yang diberikan sangat mengalakkan dan peralatan semakin bertambah sehingga kami terpaksa berpindah ke premis baharu sejak Mac lalu.

"Kini, kami turut fokus dengan penghasilan makanan lain seperti kek, piza dan sebagainya dengan jualan dibuat menerusi ejen yang berada di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara turut menjejaskan perniagaannya.

"Pada ketika itu, kami baru sahaja berpindah ke premis baharu. Namun operasi terpaksa dihentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya boleh anggarkan jualan menurun 50 peratus berbanding sebelum ini," katanya.

KEK yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggannya. FOTO Aziah Azmee
KEK yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggannya. FOTO Aziah Azmee

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Sharifah Zahidah bercita-cita memiliki kilang biskut sendiri dalam tempoh enam tahun akan datang.

"Kini saya dalam proses untuk mencantikkan aliran tunai dan tahun depan merancang pindah ke kilang besar selain berharap ada pusat inkubator kerajaan yang sudi ambil untuk menjadi usahawan mereka untuk tempoh tiga tahun dengan menggunakan fasiliti sedia ada.

"Saya bagi masa pada diri di usia 38 tahun sudah memiliki kilang biskut sendiri," katanya.

Bukan itu sahaja, dalam usia 40 tahun pula Sharifah Zahidah membayangkan untuk lebih fokus dalam bidang pendidikan dengan membuka sebuah pusat tahfiz.

"Saya mahu lebih ramai pelajar yang dilahirkan daripada pusat ini menjadi individu yang berperanan di dunia dan di akhirat.

"Mereka ini akan dididik bukan sahaja mengenai al-Quran, malah diberi pendedahan dalam bidang pekerjaan pada usia 13 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:00 AM