(Dari kiri) Sharifah Nur Rahimah, Dr Wickneswari dan Chef Wan pada majlis pelancaran di ibu negara, baru-baru ini.
(Dari kiri) Sharifah Nur Rahimah, Dr Wickneswari dan Chef Wan pada majlis pelancaran di ibu negara, baru-baru ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Nasi terutama daripada beras putih sememangnya makanan ruji bagi rakyat Malaysia dan hampir keseluruhan masyarakat di seluruh dunia.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2016, purata penggunaan beras bagi seorang rakyat Malaysia adalah kira-kira 80 kilogram (kg) setahun.

Walaupun karbohidrat dalam beras penting untuk tubuh bagi membekalkan tenaga, tahukah anda pengambilan nasi putih yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan?

Ini kerana ia mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang tinggi selain bahagian berkhasiat dalam beras seperti dedak (bran) dan embrio (germ) yang menyimpan nutrien tinggi juga turut dikeluarkan ketika proses penghasilan beras putih.

Sebagai alternatif, masyarakat boleh mencuba beras merah antaranya Primera, yang dikatakan mempunyai nilai GI rendah, tinggi dengan serat dan kaya dengan kandungan antioksidan.

Pakar Genetik Tumbuhan dan Bioteknologi, Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Wickneswari Ratnam berkata, beras itu dihasilkan melalui biak baka konvensional yang membabitkan pendebungaan terkawal antara kultivar padi Malaysia, MR219 dan varieti padi liar Oryza rufipogon,

"Nilai GI menunjukkan keupayaan relatif kandungan karbohidrat dalam makanan meningkatkan kadar glukosa dalam darah.

"Makanan dengan nilai GI yang rendah akan dicerna secara perlahan menyebabkan kenaikan kadar gula dalam darah menjadi perlahan dan stabil seterusnya mengurangkan risiko menghidapi diabetes," katanya.

Pengarah dan Ketua Pembangunan Perniagaan Nomatech Sdn Bhd, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias berkata, oleh kerana makanan yang rendah nilai GI lambat dicerna tubuh, mengambilnya pada sukatan yang sihat boleh menjadikan seseorang itu berasa kenyang dan mengelakkan rasa cepat lapar.

Katanya, beras merah keluaran syarikatnya yang sudah pun berada di pasaran itu mempunyai sedikit rasa kekacang dan membekalkan antosianin, sejenis antioksida yang melindungi sel-sel tubuh daripada radikal bebas selain dapat membantu menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.

Sementara itu, majlis pelancaran beras berkenaan di ibu negara baru-baru ini turut dihadiri duta masakan Tourism Malaysia yang juga cef terkemuka, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Beliau turut berkongsi tiga resipi menarik menggunakan beras berkenaan iaitu Nasi Berlauk, Bubur Aneka dan Nasi Ulam.

NASI ulam enak, nasi berlauk dan bubur aneka yang digemari ramai menggunakan beras merah.
NASI ulam enak, nasi berlauk dan bubur aneka yang digemari ramai menggunakan beras merah.

Resipi Nasi Ulam oleh Chef Wan

Bahan A ( untuk nasi)

• 2 cawan beras merah

• 5 cawan santan

• 2 batang serai ( dititik)

• 3 keping daun limau purut

• 1 helai daun salam

• Garam secukupnya.

Cara masak

1. Masak beras merah bersama santan, garam, daun salam, serai serta daun limau purut.

3. Masak nasi seperti masak nasi lemak.

4. Sejukkan nasi yang dimasak untuk beberapa jam.

Bahan-bahan B

• 6 jenis ulam-ulaman (diracik halus )

• 2 biji kuning telur asin (dicincang halus)

• 2 cawan isi ikan tenggiri goreng (dicarik halus)

• 1 cawan udang kering digoreng dan dikisar halus

• 1 cawan bawang goreng

• 1 cawan kerisik

• 4 batang serai (dihiris halus)

• 2 bunga kantan (dihiris nipis)

• 6 helai daun limau purut (dihiris nipis)

• 4 sudu besar sambal belacan

• 1/4 cawan budu

• 2 helai daun kunyit (dihiris halus)

• 8 biji limau nipis

• Sedikit garam

Cara masak Nasi Ulam

1. Di dalam mangkuk besar, gaul nasi beras merah yang dimasak tadi bersama semua bahan B.

2. Gaul sampai rata dan secukup rasa.

3. Perahkan air limau nipis dan sajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:23 AM