PAIS ikan tenggiri.
PAIS ikan tenggiri.
HM Digital

Apabila memperkatakan mengenai penjagaan selepas bersalin, perkara pertama yang perlu diberikan perhatian adalah makanan berpantang. Bagaimanapun, bukan semua orang tahu menyediakan hidangan ini terutama ibu muda dan individu yang terpaksa berpantang sendiri.

Menurut Pengasas Pan Tang Food, Siti Aishah Masri, 35, jika dulu ibu bapa mengamalkan pemakanan kurang sihat kepada ibu bersalin seperti ikan masin, tanpa sayur-sayuran dan minum segelas air saja, kini kebanyakan pengamal perubatan menggalakkan ibu mengutamakan makanan sihat, kaya protein serta tinggi vitamin.

“Terdapat tiga jenis makanan berprotein yang boleh diambil ibu berpantang iaitu ikan, ayam dan daging. Bagaimanapun, hanya sesetengah ikan boleh dipilih iaitu daripada jenis tidak gatal seperti selar, tenggiri, haruan dan talapia. Manakala ayam pula seelok-eloknya dimakan selepas seminggu atau dua minggu bagi mengelakkan luka lambat pulih.

“Bahan asas ini dimasak bersama halia, serai, kunyit, lada hitam dan rempah lain kemudian dihidangkan bersama nasi, sayur dan buah seperti oren dan epal merah kerana buah-buahan ini kaya vitamin C untuk mempercepatkan penyembuhan luka terutama mereka yang bersalin secara pembedahan,” katanya.

Dia yang mengusahakan makanan berpantang secara dalam talian bersama suami, Marwan Al Multaza Mohd Norin, 40, berkata, wanita seharusnya mempelbagaikan hidangan dengan cara membakar, mengukus atau merebus yang tidak menggunakan minyak.

“Jika masih mahu menggoreng, seelok-eloknya gunakan minyak sayuran kerana ia rendah kolesterol,” katanya yang menunjukkan resipi mudah menyediakan pais ikan tenggiri dan dan botok ulam ikan tenggiri kepada pembaca.

PAIS IKAN TENGGIRI

• 1 potong ikan tenggiri

• 1 biji bawang besar

• 2 ulas bawang merah

• 2 ulas bawang putih

• 1 inci halia

• 1 inci kunyit

• 1 inci lengkuas

• 1 batang serai

• secubit lada hitam

Cara menyediakan:

1. Semua bahan ini dikisar bersama. Lumur pada ikan.

2. Daun limau purut dan daun kunyit dihiris untuk hiasan dan aroma. Boleh menggunakan daun pisang atau kertas aluminium untuk membungkus ikan tenggiri.

3. Bakar atau dikukus hingga masak.

BOTOK ulam ikan tenggiri.
BOTOK ulam ikan tenggiri.

BOTOK ULAM IKAN TENGGIRI

• 1 potong ikan tenggiri

• 1 biji bawang besar

• 2 ulas bawang merah

• 1 inci lengkuas

• Daun ulam

• Pucuk tenggek burung

• Daun selom

• Ulam raja

• Pegaga

• Cekur

• 1 inci kunyit

• Lengkuas, serai dan lada hitam

Cara menyediakan:

1. Semua bahan dikisar bersama.

2. Boleh menggunakan kertas aluminium atau daun pisang untuk membungkus.

3. Letakkan ulam-ulaman bersama ikan.

4. Bahan kisar diletakkan bersama ikan .

5. Boleh dikukus atau dibakar di dalam ketuhar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 12:37 PM