PIZA sedia untuk dihidangkan. FOTO  Ihsan Ruzanna Abdul Hamid
PIZA sedia untuk dihidangkan. FOTO Ihsan Ruzanna Abdul Hamid
Muhamaad Razis Ismail

SEBUT saja piza, kita pasti membayangkan beberapa kedai makanan segera terkenal yang menjual hidangan itu.

Di pasaran terdapat pelbagai jenis piza untuk memenuhi selera peminatnya.

Bagaimanapun, kadangkala, piza yang dipesan di kedai tidak menepati cita rasa penggemarnya selain tidak segar kerana makanan ditempah tiba lebih awal sebelum waktu berbuka puasa.

Tahukah anda hidangan ini sebenarnya boleh dihasilkan dengan menggunakan kreativiti sendiri dengan mudah?

Juruteknik mekanikal di sebuah syarikat minyak di Bintulu, Sarawak, Ruzanna Abdul Hamid berkongsi resipi penghasilan piza tanpa perlu menggunakan ketuhar.

Ruzanna berkata, idea untuk menghasilkan hidangan ini tercetus sebagai memenuhi kehendak suaminya, Amirrulrashid Abdul Taip, 33, yang sangat meminati makanan berkenaan.

BAHAN untuk membuat piza.
BAHAN untuk membuat piza.

Katanya, apabila beli di luar kerap kali suaminya kurang berpuas hati dengan 'topping' yang tidak banyak seperti yang digambarkan dalam iklan.

"Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk mencuba menghasilkan sendiri piza biarpun tidak memiliki ketuhar yang biasanya digunakan untuk menghasilkan hidangan ini.

"Menghasilkan piza sendiri, saya bebas membuat 'topping' sendiri mengikut jenis dan jumlah yang diinginkan dengan kos lebih murah.

"Alhamdulillah, cubaan saya berjaya dan ia sangat mudah dihasilkan, katanya.

Bahan piza:

a. 1 1/2 cawan air suam

b. Dua sudu kecil yis

c. Satu sudu kecil gula

d. Empat cawan tepung gandum (ayak)

e. 1/4 sudu kecil garam

f. 1/4 cawan minyak atau minyak masak

PROSES untuk menghasilkan doh.
PROSES untuk menghasilkan doh.

TUTUP doh dengan pembalut plastik dan biarkan selama 30-50 minit.
TUTUP doh dengan pembalut plastik dan biarkan selama 30-50 minit.

CUCUK doh yang sudah dileperkan dengan garpu untuk keluarkan udara.
CUCUK doh yang sudah dileperkan dengan garpu untuk keluarkan udara.

Cara penyediaan piza:

a. Campurkan gula dalam air suam dan masukkan yis. Kacau rata dan biarkan selama lima minit.

b. Ayak tepung dalam mangkuk dan masukkan garam. Buatkan satu lubang di tengah tepung dan tuangkan minyak masak atau minyak zaitun ke dalamnya, diikuti dengan air yis tadi.

c. Kacau menggunakan sudu dengan cara tepung di sekeliling masuk ke tengah tengah lubang bancuhan yis secara perlahan sehingga semua bahan sebati.

d. Dengan menggunakan tangan, uli dan gulung doh sehingga tidak melekat di tangan. (Letak sedikit tepung pada tangan dan doh sekiranya melekat)

e. Taburkan tepung gandum atas pinggan/papan pencanai. Uli doh sehingga sebati dengan cara dilipat ke tengah dan ditolak ke depan dengan tangan dan bentukkan doh menjadi bulat.

f. Kemudian letak doh dalam bekas/mangkuk yang disapu sedikit minyak, sapu juga sedikit minyak di atas doh, tutup dengan pembalut plastik dan biarkan doh selama 30 minit-50 minit. Keluarkan doh yang dah naik berkali ganda, uli sekejap dan bahagi kepada dua bahagian.

g. Sapukan kuali dengan sedikit mentega. Leperkan doh piza (ketebalan ikut suka, kalau mahukan keragupan, pastikan doh nipis) dan buat beberapa lubang dengan garpu bagi mengeluarkan udara serta untuk pastikan bahagian dalam doh masak nanti. Akhir sekali sapu sos piza, letak sosej, cendawan, keju mozarela, keju cheddar, daging cincang yang sudah ditumis atau letak apa apa sahaja 'topping' piza yang disukai.

h. Guna api perlahan sahaja. Pastikan tutup kuali dan tunggu enam hingga lapan minit atau sehingga masak.

 BAHAN untuk topping.
BAHAN untuk topping.

TUMIS bawang.
TUMIS bawang.

TUANGKAN satu tin sos tomato dalam kuali.
TUANGKAN satu tin sos tomato dalam kuali.

Bahan untuk sos 'topping' piza:

a. Dua biji bawang merah (dihiris halus)

b. Dua ulas bawang putih (dihiris halus)

c. Sebiji bawang besar (dihiris halus)

d. Sos tomato Prego

e. Daging kisar (dibasuh dan ditoskan)

f. Sosej (dihiris bulat)

g. Cendawan (dihiris menjadi kepingan)

h. Minyak sedikit untuk menumis

i. Gula sedikit

j. Garam/secukup rasa

k. Lada/Cili (jika mahu pedas)

SOS topping.
SOS topping.

TUANGKAN atas doh.
TUANGKAN atas doh.

Cara-cara menyediakan sos topping:

a. Tuangkan sedikit minyak dalam kuali untuk tumis semua jenis bawang yang dihiris sehingga kekuningan.

b. Selepas itu, letakkan daging kisar, sosej dan cendawan yang dihiris. Kacau sebentar sehingga sosej dan daging kisar selama tiga minit.

c. Kemudian tuangkan satu tin sos tomato Prego dalam kuali. Kacau sebentar.

d. Boleh letak sedikit lada atau cili yang dihiris jika mahu pedas.

e. Letakkan sedikit gula dan garam sebagai perasa. Kacau sebentar dan siap untuk dijadikan topping piza.

f. Sos untuk topping sudah siap dan sedia untuk diletakkan di atas doh. Boleh taburkan keju mozarela dan pelbagai topping mengikut selera masing-masing.

g. Keju mozarela (boleh guna jenis lain kalau nak/kepingan keju).

h. Boleh tambah bahan lain nanas, buah zaitun, avokado dan lain-lain mengikut selera masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:31 AM