TEKSTUR avokado berlemak membuat rasa cepat kenyang.
TEKSTUR avokado berlemak membuat rasa cepat kenyang.
Nurul Husna Mahmud

AVOKADO adalah sumber lemak tidak tepu dan mengandungi vitamin E yang sangat baik.

Malah, menurut artikel Medical News Today, kandungan serat larut dalam avokado lebih banyak daripada buah-buahan lain dan mengandungi mineral berguna termasuk zat besi, magnesium dan kalium.

Mereka yang mengamalkan pengambilan avokado dalam diet seharian membantu melindungi daripada sebarang penyakit jantung dan menurunkan tekanan darah.

Dalam kajian mengenai nutrisi dalam buah itu juga menemui asid oleik dan asid linoleik yang sangat berguna dalam menguruskan paras kolesterol dalam badan.

Dikatakan tekstur dan rasa lemak pada avokado juga membantu memberi ilusi kenyang, sekali gus membantu mengawal selera makan.

Meskipun kandungan kalori buah terbabit lebih tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran lain. Ia tidak memberi kesan negatif sebaliknya membantu rasa kenyang.

Tidak hairan avokado menjadi pilihan dalam hidangan atau sajian berbentuk jus untuk mereka yang mahukan diet seimbang.

Kali ini dikongsikan resipi penyajian avokado sebagai hidangan berat atau jus yang mengenyangkan.

Berikut resipi ringkas untuk dicuba dari dapur anda:

1. Kebab atau roti balut avokado

Bahan-bahan:

- Satu bahagian dada ayam anggaran 180 gram (g) (dihiris nipis)

- 0.5 mililiter (ml) air limau nipis

- 1/2 sudu kecil serbuk cili

- Seulas bawang putih (dicincang)

- Satu sudu kecil minyak zaitun

- Dua roti gulung

- Sebiji avokado dibelah dua

- Sebiji cili merah (dihiris nipis)

- Setangkai daun ketumbar (dicincang)

Kaedah:

- Gaul ayam bersama air limau nipis, serbuk cili dan bawang putih.

- Panaskan minyak dalam kuali yang tidak melekat kemudian goreng ayam selama beberapa minit. Ia akan masak dengan cepat jadi anda perlu peka.

- Sementara itu, panaskan roti gulung mengikut arahan pek atau jika anda mempunyai dapur gas, panaskan di atas api. Jangan biarkan ia garing atau sukar untuk digulung.

- Lecekkan' separuh avokado dan masukkan lada dalam kuali untuk memanaskannya.

- Sediakan roti, susun hirisan ayam dan avokado (seperti dalam gambar). Taburkan potongan daun ketumbar. Gulung dan potong dua.

2. Jus avokado

- Sebiji avokado (sudah matang atau masak)

- Satu cawan (236ml) susu sejuk

- Satu sudu besar (15g) gula, madu atau pemanis Masukkan avokado dalam mesin pengisar makanan. Kisar sehingga lumat.

- Masukkan susu dalam mesin pengisar dan kisarkan sehingga sebati.

- Boleh sediakan ketulan ais atau tanpa ais. Campurkan pemanis mengikut cita rasa dan jus sedia dihidang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:30 AM